SEMUA pengunjung terpukau tatkala melihat seorang model perempuan memakai gaun pengantin kembang, yang sebenarnya diperbuat sepenuhnya daripada kek.
Kreativiti menggabungkan dua industri seni iaitu fesyen dan pembuatan kek di atas pentas peragaan itu biarpun begitu mencabar, namun berjaya dilaksanakan oleh seorang pereka fesyen kelahiran Melaka, Hatta Dolmat bersempena festival KahwinFest 2025 yang berlangsung di pusat beli-belah Wangsa Walk, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Busana kek seberat 90 kilogram itu diserikan dengan perincian bunga gum paste, seperti yang lazim dilihat pada kek-kek perkahwinan.
Ia merupakan kerjasama antara pereka fesyen berbakat besar itu dengan jenama kek terkenal, Gula Cakery.
Kek bertemakan Neapolitan itu menggabungkan tiga perisa iaitu moist chocolate, vanila dan red velvet.

Berkongsi dengan CitaRasa, Hatta memberitahu dia mengambil masa lebih satu bulan untuk menghasilkan koleksi tersebut.
“Pertunjukan fesyen ini menampilkan lapan busana yang diperbuat daripada bahan membuat kek seperti fondant dan sebagainya, namun rekaan utama yang saya tampilkan adalah gaun pengantin yang diperbuat daripada kek seberat 90 kilogram.
“Saya mengambil masa lebih sebulan untuk menghasilkan koleksi ini kerana melibatkan banyak aspek seperti perbincangan bersama pihak Gula Cakery dan logistik,” katanya.
Perincian bunga-bunga kecil pada permukaan fondant dihasilkan dengan cukup kemas, tak ubah seperti sepasang gaun pengantin sebenar.
Gaun utama itu juga menampilkan rekaan off shoulder dengan perincian gula pada bahagian bahu, menghasilkan efek umpama kain organza.
Menerusi projek itu juga, Hatta turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pereka Fesyen Malaysia Pertama Yang Menganjurkan Pertunjukan Fesyen Konseptual Dengan Busana Couture Diperbuat Daripada Kek.
Ujar Hatta, penghasilan busana kek itu juga adalah bagi mencabar dirinya sendiri yang suka mencuba sesuatu yang baharu.
Pereka fesyen berusia 42 tahun itu berkongsi, penghasilan busana daripada kek adalah cukup berbeza berbanding menghasilkan busana daripada fabrik.
“Bagi koleksi ini, saya tidak boleh mengambil rekaan baju sedia ada dan mengolahnya menjadi kek.
“Hal ini kerana fabrik dan juga fondant kek mempunyai tekstur dan ciri berbeza serta penghasilan busana kek ini melibatkan banyak eksperimen bersama cef dari Gula Cakery,” katanya.
Biarpun mencabar, namun Hatta mengakui seronok apabila berjaya menghasilkan busana itu, selain menyifatkan dia belajar banyak perkara membabitkan seni pembuatan kek.
“Menerusi karya ini, saya juga banyak belajar benda baharu daripada cef, seperti sifat icing kek yang adakalanya lembut dan adakalanya keras yang saya rasakan cukup menarik,” katanya.














