BUKIT KAYU HITAM – Kerajaan sedang menangani isu kelewatan projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II) yang sepatutnya siap pada 2019 menerusi kerjasama pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu juga melibatkan pihak pembiaya bagi meneruskan projek tersebut.
“Seperti mana semua sedia maklum, (MEX II) memang kita akui bermasalah untuk menyiapkan projek itu, tetapi berita baik apabila semua yang berkaitan iaitu Kementerian Kewangan, KKR dan JKR sedang membantu.
“Ia termasuk pihak pembiaya yang mana pemaju mendapatkan punca kewangan untuk memajukan projek tersebut,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan perkara itu secara terperinci berikutan proses berkenaan masih berjalan.
“Saya difahamkan akan ada beberapa siri mesyuarat untuk memastikan apa sepatutnya kita putuskan dan buat tindakan,” tambahnya.
Projek MEX II merupakan sambungan lebuh raya sepanjang 18 kilometer (km) yang dirancang untuk menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Projek tersebut yang bermula pada 2016 dijadualkan siap pada akhir 2019, namun mengalami kelewatan didakwa akibat masalah aliran tunai. – KOSMO! ONLINE