JOHOR BAHRU – Testimoni palsu atau gambar-gambar individu lain yang kononnya telah berjaya dan hidup mewah di luar negara antara taktik sindiket penipuan pekerjaan dalam memperdayakan mangsa.
Sindiket juga menjanjikan gaji yang tinggi, tidak memerlukan pengalaman kerja dan tawaran kerja segera tanpa temu duga.
Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Jabatan Pendidikan Sains dan Matematik Inovatif, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Nina Diana Nawi berkata, itu taktik sindiket untuk memancing kepercayaan pencari kerja terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, ia hasil pemerhatian dan penyelidikan yang dilakukannya terhadap modus operandi sindiket terbabit.
“Ramai mangsa begitu teruja dengan peluang kerja luar negara, tetapi belum cukup peka terhadap penipuan siber dan risiko undang-undang.
“Negara jiran terdekat ialah Singapura, nilai tukaran mata wang tinggi, dengan kata lain gaji lumayan menjadi faktor utama yang menarik minat lepasan SPM untuk bekerja di sana,’ katanya kepada Kosmo!.
Nina Diana berkata, bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan, pencari kerja perlu selidik cara-cara taktik scammer.
Antaranya ialah biasanya tawaran kerja tanpa temu duga atau proses saringan, penggunaan bahasa yang tidak profesional dalam e-mel atau mesej, diminta membuat bayaran terlebih dahulu sebagai deposit atau yuran proses.
“Yang kena bayar pula biasa antara RM50 hingga RM300 bergantung kepada helah ‘ejen’ tersebut, kalau berdepan situasi seperti ini, cepat-cepat berhenti, itu adalah scammer.
“Selain itu, sindiket juga tidak menyatakan maklumat syarikat yang boleh disahkan atau laman web rasmi palsu dan diminta beri maklumat peribadi seperti salinan MyKad, akaun bank bagi tujuan dokumentasi,” katanya.
Beliau menasihatkan sebagai masyarakat terpelajar, pencari kerja perlu membuat semakan kesahihan syarikat dan tawaran kerja dengan Kementerian Sumber Manusia atau agensi pekerjaan berdaftar.
Katanya, elakkan berurusan dengan ejen tidak sah atau individu yang tidak mempunyai lesen pengambilan pekerja luar negara.
“Jangan bayar apa-apa yuran sebelum dapat surat tawaran rasmi, gunakan platform carian kerja yang sah selain dapatkan pandangan ibu bapa atau guru kaunselor sebelum buat keputusan besar dalam hidup,” katanya.















