fbpx
Ada wanita yang mahu bunuh diri kerana terlalu sukar menerima hakikat ‘dibuang’ suami. - GAMBAR HIASAN

Bukan tak ‘move on’, tapi perit dikhianati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga mahukan perpisahan.

Namun, rasa dikhianati dan benci mengatasi perasaan cinta dan sayang sekali gus menjadikan penceraian sebagai jalan terakhir yang perlu diambil untuk menoktahkan segala-galanya.

Tetapi ia tidak berakhir di situ kerana dendam masih menggunung, apatah lagi perpisahan terjadi dalam keadaan mengejut. Jadi perit untuk diterima.

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai bekas pasangan pempengaruh yang saling melancarkan ‘perang’ antara satu sama lain berkaitan soal penjagaan anak dan tuntutan harta sepencarian.

Kisah mereka mendapat perhatian netizen dan ramai yang menyebelahi bekas isteri pempengaruh tersebut yang dianggap teraniaya kerana dicurangi ketika perkahwinan masih terbina.

Namun, ramai juga yang membidas mengatakan bekas isteri tersebut tidak sepatutnya ‘meroyan’ dan perlu meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak seperti biasa.

Peguam Syarie, Syuhada Zulkifli berkata, antara sebab bekas isteri sukar move on adalah kerana kebanyakan mereka meletakkan kepercayaan setinggi gunung semasa dalam perkahwinan.

Katanya, sifat bekas isteri yang terlalu percaya, berkorban masa, karier, jiwa dan harta untuk kesenangan suami dalam rumah tangga akan ‘terduduk’ apabila dikhianati pasangan masing-masing.

“Antara sebab lain bekas isteri sukar move on adalah kerana bekas pasangan narsisistik atau manipulatif.

“Di depan orang, mereka (bekas suami) pandai menyusun kata, tetapi apabila berdua dengan bekas pasangan mula memerli, melakukan provokasi dan membuli.

“Agak sukar membawa sikap narsisistik suami ke kandang mahkamah kerana mereka biasanya tidak meninggalkan jejak,” kata beliau.

Jelas Syuhada, bekas isteri juga kebanyakannya ditinggalkan sehelai sepinggang menjadikan dendam di hati makin membara walaupun sudah berpisah.

Katanya, penceraian yang dianjurkan syarak ialah apabila bekas suami menyediakan nafkah, tempat tinggal dan mutaah (saguhati kesedihan) sepanjang tempoh idah tanpa perintah mahkamah.

“Namun, hendak selesai kesemua tuntutan memakan masa yang lama. Ada yang ditinggalkan bekas suami tidak bekerja, tanpa nafkah, anak ramai tanpa bekalan makanan.

“Ada juga yang sampai bergelap di rumah tanpa elektrik, menanggung hutang bekas suami, menyembunyikan anak. Ada wanita yang pernah berhasrat untuk bunuh diri, menerima rawatan psikatari kerana terlalu sukar menerima hakikat ‘dibuang’ suami.

“Perlu diingat, hubungan perkahwinan adalah hubungan paling dalam. Tidak sama seperti hubungan anak atau kawan baik. Tidur sebantal, makan setalam jadi apabila dikhianati mereka akan jadi hilang arah. Tidak tahu ke mana hendak dituju,” katanya.

Syuhada berkata, kebanyakan bekas isteri bukannya tidak dapat menerima hakikat, namun mereka memerlukan masa untuk bangkit dengan sokongan orang sekeliling seperti keluarga, jiran dan kawan.

“Sebagai peguam, saya hanya mampu menasihati agar mereka (bekas isteri) berdoa dan percaya rahmat Tuhan di sebalik ujian ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN