KANCAH larian jarak jauh Malaysia berkembang pesat apabila semakin banyak acara dianjurkan, namun di sebalik kemeriahan itu, terdapat keperluan mendesak untuk menilai semula kos penyertaan dan nilai hadiah bagi memastikan sukan tersebut terus melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.
Pelari maraton negara, Muhaizar Mohamad mengakui gembira melihat komuniti larian di Malaysia semakin membesar dengan pelbagai acara berlangsung di seluruh negara, namun mengingatkan ada cabaran yang perlu diberikan perhatian.
“Pada pendapat saya, memang banyak pihak menganjurkan larian. Ini bagus untuk menaikkan komuniti kita selain menarik lebih ramai anak muda dalam maraton,” katanya.
Namun begitu, Muhaizar bimbang dengan kos penyertaan yang dilihat makin melambung, meskipun hanya untuk acara fun run sehingga menjadi perbincangan hangat dalam kalangan atlet dan kelab.
Sebagai perbandingan, Muhaizar berkata, hadiah kemenangan acara maraton di Indonesia jauh lebih tinggi walaupun yuran penyertaannya berpatutan.
“Di negara jiran, hadiah nombor satu, dua dan tiga memang besar. Di Malaysia yuran mahal, tetapi hadiah kecil,” katanya.
Muhaizar bimbang sekiranya trend itu berterusan, ia boleh menyebabkan penganjur lebih mengejar keuntungan berbanding tujuan asal memajukan sukan dan komuniti sihat dalam negara.
Atlet berusia 40 tahun itu menyeru pihak berwajib seperti Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Negara memantau yuran penyertaan agar lebih seimbang dengan keperluan sebenar penganjuran.
“Saya faham buat event (acara) ‘makan modal’, tetapi sekurang-kurangnya jangan terlalu tinggi. Ada sampai RM100, RM200 bagi satu penyertaan, sedangkan maraton hanya perlukan laluan larian dan checkpoint pula tidak banyak,” katanya.
Muhaizar turut berkongsi pengalaman peribadi menyertai acara di Indonesia dan Vietnam di mana hadiah ditawarkan lebih menarik sekali gus merangsang persaingan sihat dalam kalangan atlet muda.
“Di Vietnam, saya mendapat RM5,000 untuk tempat keempat,” katanya.
Beliau berkata, hadiah lumayan bukan sahaja memberi motivasi buat pelari, tetapi membentuk budaya saingan sihat yang akhirnya melahirkan atlet maraton yang lebih kuat.
“Bukan sebab nak duit semata-mata, tetapi apabila ada hadiah besar, semangat bersaing jadi lebih kuat. Anak-anak muda berusaha hendak mewakili negara,” katanya.
Muhaizar percaya, sekiranya hadiah kemenangan ditingkatkan dan kos penyertaan dikawal, maraton Malaysia berpotensi melahirkan lebih ramai atlet handalan seperti yang berlaku di Indonesia.
“Sebab itu atlet Indonesia meningkat naik sekarang. Hadiah kemenangan tinggi, penganjuran acara bagus, maka atlet bersaing lebih sengit,” ujarnya.
Muhaizar berharap perubahan tersebut akan dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh ekosistem sukan maraton di Malaysia.














