fbpx
Ilustrasi Hotel Otonomus yang diberi jolokan sebagai hotel dikuasakan AI sepenuhnya pertama di dunia yang akan beroperasi di Las Vegas tidak lama lagi.

Hotel AI pertama di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KECERDASAN buatan (AI) merupakan konsep teknologi baharu yang berfungsi seperti mesin dengan kemampuan luar biasa.

Para penggiat dalam bidang seperti komunikasi, pendidikan, kesihatan, keselamatan, automotif dan kulinari saling berlumba-lumba untuk menggunakan AI.

Ia bagi membuktikan bahawa bidang dipelopori mereka semakin berkembang, sekali gus memberikan kesenangan kepada pengguna.

Begitu juga dengan barisan pemain hospitaliti yang tidak mahu ketinggalan dalam menggunakan AI dalam perkhidmatan mereka.

Memetik laporan CTV News, sebuah hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat dikenali sebagai Hotel Otonomus yang memiliki 550 bilik dan 300 unit pangsapuri bakal menjadi pusat peranginan pertama di dunia menggunakan sistem AI.

Ketua Pegawai Eksekutif Otonomus, Philippe Ziade berkata, hotel tersebut akan menggunakan sistem AI untuk urusan tempahan, pendaftaran bilik dan pesanan makanan.

“Konsep sebegini merupakan perkara baharu yang belum pernah lagi ditawarkan dalam pasaran.

“Pelanggan boleh membuat pendaftaran dengan menggunakan sistem AI dan segala maklumat pelanggan akan disimpan dalam ‘cloud’ (perkomputeran awan).

“Ia bagi memudahkan pelayan tahu apa yang disukai oleh pelanggan.

“Selepas selesai membuat tempahan, pelanggan perlu menjawab beberapa soalan untuk mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang mereka.

“Bagi melakukan semua itu, kami membangunkan avatar (untuk menyimpan data pelanggan). Ia membolehkan pihak hotel mengetahui jenis makanan, minuman atau aktiviti kesukaan pelanggan.

“Begitu juga dengan suhu bilik atau jenis rawatan spa,” katanya.

Biarpun penggunaan AI membuatkan hotel tersebut unik dan menyerlah, namun Ziade memberitahu, pelanggan tetap diberi pilihan untuk tidak menggunakan aplikasi digital itu.

Sebaliknya, mereka akan disapa oleh penyambut tetamu dan berkomunikasi secara normal dengan petugas manusia.

“Walaupun hotel ini mempunyai keupayaan unik, namun bukan bermakna pelanggan tidak dapat berhubung dengan manusia langsung.

“Tugas AI adalah untuk menambah keupayaan kita sebagai manusia dan bukan untuk mengurangkan pekerja.

“Kami tetap mempunyai semua ciri seperti hotel tradisional lain.

“Bagi yang tidak gemarkan teknologi, anda masih boleh melakukan semua urusan seperti biasa dengan kakitangan hotel.

“Anda berhak untuk menginap di hotel ini dan berurusan dengan kami secara tradisional (berkomunikasi) sepanjang masa,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Growth Holding (kumpulan yang memiliki Otonomus), Steve Escalante berpendapat, penggunaan sistem AI telah mencipta sejarah baharu dalam bidang hospitaliti.

Escalante yakin sistem avatar yang dibangunkan oleh Otonomus dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan, sekali gus membuatkan mereka setia dengan hotel tersebut.

“Biarpun memberi fokus kepada penggunaan AI, namun kami masih mempunyai kira-kira 30 pekerja yang hanya memberi tumpuan kepada pelanggan.

“Tugasan pengurusan dan pentadbiran pula dikendalikan oleh teknologi AI.

“Data yang dicipta itu hanya bersesuaian dengan persekitaran hotel dan konsep kami.

“Jadi, pelanggan tidak perlu bimbang tentang data mereka dikongsi dengan pihak ketiga. Avatar ini akan sentiasa belajar daripada gelagat tetamu.

“Bukan sahaja makanan atau minuman, malah turut merekod pencahayaan mahupun suhu pilihan ketika lawatan ke spa,” ujarnya memetik laporan Tech Informed.

Teknologi itu tidak akan mengenal erti jemu atau penat.

Ia juga tidak membuat kesilapan dan sentiasa mengingati perkara disukai oleh pelanggan.

“Jika pelanggan mahukan cara tertentu untuk membancuh kopi pada hari ini, avatar akan mengingatnya untuk masa depan.

“Jadi apa disukai pelayan diketahui oleh kami pihak hotel,” katanya.

Untuk makluman, Hotel Otonomus telah membuka tempahan penginapan pada Februari lalu dan dijangka dibuka secara rasmi pada bulan depan.

Selain Las Vegas, hotel tersebut turut mempunyai sebuah lagi cawangan di Tulum, Mexico.

Teknologi AI bukan saja diterapkan dalam sistem perkomputeran, malah pada robot bagi melakukan kerja-kerja yang sebelum ini dilakukan oleh manusia.

Kaedah tersebut telah diguna pakai oleh Hotel Henn na di Jepun yang menggunakan robot sebagai kakitangan hotel.

Pelanggan yang berkunjung ke Hotel Henn na akan disambut oleh robot yang bertindak sebagai penyambut tetamu di kaunter pendaftaran.

Memiliki beberapa cawangan di seluruh Jepun, Guinness Book of World Records turut menyenarai rangkaian tempat penginapan itu sebagai hotel pertama dikendalikan oleh robot.

Menariknya, Hotel Henn na menawarkan pelbagai pilihan penyambut tetamu seperti robot menyerupai manusia dan dinosaur, selain robot mini serta hologram untuk memudahkan para pelanggan.

Hotel itu menggunakan robot dalam bentuk eksoskeleton putih porselin yang lengkap dengan seragam berwarna putih bagi membantu urusan pendaftaran bilik.

Pendaftaran bilik boleh dibuat dengan mudah dan pantas, di mana tetamu hanya perlu mengisi maklumat melalui panel skrin sentuh sebelum menerima kad akses bilik.

Menurut Eksekutif Perancangan Pengurusan Perniagaan HIS Hotel Holdings, Miura Tatsuki, konsep Hotel Henn na bermula pada 2015 selepas pengubahsuaian besar-besaran di hotel Huis Ten Bosch, Sasebo.

HOTEL Henn na di Jepun menggunakan robot AI sebagai kakitangan penginapan.

Dengan menjadikan robot sebagai tenaga kerja, hotel itu berjaya mengurangkan jumlah kakitangan dari 40 ke tujuh orang pekerja bagi mengendalikan 144 bilik.

“Pada mulanya, kami menggunakan robot untuk mengurangkan kos buruh, namun robot itu sendiri mempunyai tarikan tersendiri, sekali gus menarik perhatian ramai.

“Hotel kami ini mendapat pengiktirafan tiga hingga tiga setengah bintang.

“Biarpun tidak setinggi seperti diharapkan, namun kami sudah cukup puas hati kerana robot turut menjadi tambah nilai kepada tarikan pelanggan,” katanya memetik laporan Nippon.com.

Ujar Tatsuki, robot mempunyai kemampuan untuk mengurus hotel dengan cekap dan kurang melakukan kesilapan.

Malah, bentuknya yang comel membuatkan jenama Hotel Henna na mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Robot membolehkan pengurusan hotel menjadi lebih cekap dan jumlah kakitangan semakin mengecil.

“Selain hiburan, usaha ini menjadi idea baharu untuk meningkatkan industri perhotelan di Jepun.

“Memandangkan tenaga kerja mahir dan berpengalaman agak sukar didapati di Jepun, maka langkah ini menjadi alternatif untuk membantu pihak pengurusan hotel.

“Pada awal pembukaan, hotel hanya memiliki 82 buah robot yang terbahagi kepada kepada enam jenis.

“Selepas beberapa cawangan dibuka, kini kami mempunyai hampir 300 robot daripada 30 jenis,” katanya.

Ketika ini, Hotel Henn na memiliki 20 cawangan di seluruh Jepun dan dua di luar negara iaitu Myeongdong, Korea Selatan serta New York, Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN