KUALA PERLIS – Malaysia akan menangani tarif timbal balik dikenakan Amerika Syarikat (AS) secara bijaksana dan pada masa sama mengekalkan hubungan antarabangsa yang sederhana dengan negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan akan terus dilakukan dengan AS supaya ada satu tindakan serta keputusan yang lebih adil.
“Kita ditanya adakah kita setuju dengan kenaikan tarif, kita tidak setuju. Malaysia adalah negara dagang, tiada negara waima AS yang sewenang-wenangnya harus tetapkan kadar secara unilateral iaitu ikut pendirian mereka.
“Kita terikat dengan WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ini yang disebut multilateral, kita gabung dengan banyak negara. Kita terpaksa terima kenyataan dan tangani dengan bijaksana,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Dataran Lok 9, di sini hari ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat pada majlis itu.
Kata Anwar, kenaikan tarif akan menyebabkan harga barangan Malaysia yang dieksport ke AS akan menjadi mahal, sekali gus menjadi satu masalah kepada ekonomi negara.
“Syukur Alhamdulillah setakat ini (kenaikan tarif) ditangguhkan 90 hari, maknanya kita boleh bernafas sebentar. Banyak negara jiran lain seperti Thailand, Kemboja, Myanmar dan Indonesia ditekan dengan tarif yang jauh lebih tinggi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Malaysia merupakan antara negara pengeluar semikonduktor terbesar dan lebih 60 peratus eksport Malaysia ke AS melibatkan nilai lebih RM140 bilion.
“Oleh sebab itu, hubungan antarabangsa dengan AS dan negara lain harus kekal sederhana supaya jangan menjejaskan kehidupan rakyat, pekerjaan mereka dan pertumbuhan ekonomi. Untuk apa pertumbuhan ekonomi ini? Untuk pastikan keselesaan kepada rakyat, ini kita lakukan,” ujarnya.
Tambahnya, beliau mengambil keputusan untuk memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat pada 5 Mei ini supaya dapat menerangkan langkah-langkah yang diambil agar dapat dibincangkan bersama Ahli Parlimen.
“Ini adalah masa untuk semua parti dan rakyat fokus kepada pertumbuhan negara untuk mengangkat martabat negara. Malaysia negara hebat, kita mampu jadi negara contoh dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat untuk mengangkat martabat ekonomi kita.
“Kita bina kekuatan dalaman, latihan harus berubah. Anak-anak kena kuasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kena tingkatkan keupayaan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) serta masuk lapangan kejuruteraan, AI (teknologi kecerdasan buatan),” katanya.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia serta beberapa negara dagangnya mengikut kadar masing-masing.
walau bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara kecuali China.- KOSMO! ONLINE