Saudara Pengarang,
Selepas berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) Mac lalu, cuaca di Lembah Klang agak tidak menentu. Sebelah siang panas terik, manakala malam pula dilanda angin kencang dan ribut petir.
Selama dua minggu berturut-turut penduduk di Shah Alam, Klang dan Sungai Buloh terpaksa berdepan trauma ekoran banjir kilat yang bagaikan tidak berkesudahan.
Sampai bila rakyat Selangor terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda disebabkan banjir kilat walaupun hujan hanya jam.
Terbaharu, penduduk Sungai Buloh dan Bukit Lanchong trauma selepas dilanda banjir kilat walaupun hujan dua jam.
Taburan hujan yang luar biasa mengakibatkan banjir besar di Selangor pada tahun 2021 itu berlaku selepas tiga hari hujan tanpa henti.
Sekarang hujan tiga jam, tetapi penduduk terpaksa punggah barang kerana air sudah paras betis.
Ramai tertanya-tanya apa langkah yang dilakukan kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran sejak 2021 bagi menangani isu banjir.
Khamis lalu baru kedengaran mereka membentangkan pelan tindakan dan langkah segera melibatkan Taman Sri Muda, Shah Alam, Meru, Klang dan Taman Seri Alam, Sungai Buloh bagi jangka sederhana dan panjang.
Selaku rakyat yang menetap selama berpuluh-puluh tahun di Selangor perkara ini amat menyakitkan hati. Ini kerana sejak tahun 2021 isu ini seolah-olah dipandang sebelah mata oleh pihak berkaitan.
Masalah pintu pam, rumah pam terputus bekalan elektrik dan ban pecah sepatutnya bukan alasan kerana sebagai negeri paling kaya di Malaysia, isu rutin itu patut ditangani dengan bijaksana.
RAKYAT TRAUMA BANJIR
Shah Alam, Selangor














