KOTA BHARU – Menghidap leukemia limfositik akut (ALL) sejak berusia setahun 10 bulan tidak menghalang seorang remaja memperoleh keputusan 8A dan 1B+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Bukan hanya leukemia, Ahmad Miqael Amshar Rosli, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher di sini turut menderita masalah slip disc tiga bulan sebelum menduduki SPM baru-baru ini.
Beliau berkata, penyakit leukemia itu menyebabkan dia hadir ke sekolah sehari atau dua hari sahaja dalam tempoh seminggu sejak tingkatan satu.
Menurutnya, meskipun sering tidak ke sekolah, dia bersyukur apabila pihak sekolah memahami situasi kesihatannya.
“Saya menghidap leukemia sejak berusia setahun 10 bulan. Keadaan ini menyebabkan kesihatan sering terganggu sehingga tidak dapat mengikuti sepenuhnya dalam pembelajaran di sekolah terutamanya semasa menduduki peperiksaan SPM.
“Alhamdulillah, saya dapat menduduki peperiksaan SPM dengan baik baru-baru ini hasil berkat usaha gigih belajar dan mengulang kaji pelajaran sendiri,” ketika ditemui semalam.
Katanya, berikutan faktor kesihatan itu, dia hanya sekadar mengulang kaji semua subjek di rumah mengikut kemampuan.
Dia bersyukur dengan keputusan peperiksaan SPM itu walaupun hanya skor gred A untuk lima subjek teras termasuk Bahasa Inggeris.
“Alhamdulillah, saya mendapat keputusan cemerlang termasuk A+ bagi subjek Bahasa Inggeris.
“Saya harap cita-cita untuk menjadi sebagai pensyarah Bahasa Inggeris dimakbulkan Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Zarina Mohd. Nor, 57, bersyukur dengan keputusan Ahmad Miqael Amshar yang juga anak bongsu daripada enam beradik mendapat keputusan cemerlang.
Katanya, keluarga juga tidak menjangkakan keputusan cemerlang tersebut.
“Ini kerana kami hanya menjangkakan anak saya memperoleh keputusan 5A.
“Ini merupakan rezeki yang Allah SWT beri kepadanya. Kami sekeluarga sangat bersyukur dan bangga dengan keputusan SPM yang diterima Ahmad Miqael Amshar.
“Saya yakin dan percaya anak saya dapat menjawab peperiksaan SPM baru-baru ini walaupun menghadapi masalah kesihatan sejak sekian lama,” katanya.















