KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah RM2.8 juta melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Ridha Abdah Subri ketika ditemui selepas prosiding kes hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Ridha berkata penangguhan perbicaraan itu berikutan saksi ke-11 yang memberi keterangan hari ini dilaporkan tidak sihat.
“Perbicaraan akan bersambung lagi esok sehingga Jumaat ini,” katanya.
Saksi ke-11 itu merupakan Pengurus Kanan Pentadbiran dan Kewangan di Yayasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Azriman Ridouan.
Pada 3 Mei tahun lalu, Bung,61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie,42,.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie atas sebab yang sama.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.
Zizie juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama.- K!ONLINE














