ELEMEN moden merupakan antara konsep yang sering menjadi pilihan dalam dekorasi rumah terutama di kawasan perumahan elit.
Dalam spektrum tema moden pula terdapat pelbagai pecahan gabungan tema bagi memberikan kelainan kepada hiasan sesebuah rumah.
Bagi pemilik rumah, Dianah Hanani Abdullah, tema moden dan mewah menjadi pilihan untuk dekorasi rumahnya yang bertempat di Setia Alam, Selangor.
Menurutnya, pemilihan konsep tersebut merupakan ideanya bersama suami, Muhammad Khairulazman Moh Pardon yang mahukan rumah menjadi tempat mereka mendapatkan ketenangan selepas kesibukan bekerja.
“Saya sukakan konsep moden kerana ia lebih minimalis, namun pada masa sama saya juga mahu rumah kelihatan elegan dan gabungan elemen mewah membantu mencapai inspirasi itu.
“Untuk deko rumah, saya banyak merujuk imej dalam talian kemudian memberikannya kepada pereka dalaman kami untuk merealisasikannya,” katanya kepada CitaRasa di kediamannya baru-baru ini.
Tambahnya, bagi dekorasi moden dan mewah, dia memulakan dengan pemilihan warna lembut gabungan rona kelabu cair dan putih.

Ruang bawah rumah dibahagikan tiga bahagian iaitu ruang tamu, ruang makan dan dapur yang berhubung dengan kesinambungan tema pilihan.
Di ruang tamu, elemen moden dan mewah dihidupkan dengan pilihan perabot berfabrik dalam rona kelabu yang dipadankan dengan langsir dalam spektrum warna sama.
Pencahayaan lampu candelier dalam rekaan kepingan logam berkilat menjadikan tema moden dan mewah lebih menyerlah selain pencahayaan putih hangat.

Hiasan lain seperti permaidani corak abstrak, lampu kaki berona hitam, pasu dan bingkai islamik khat dalam tulisan berwarna emas menjadikan ruangan tampak mewah dan eksklusif.
“Bagi ruangan dapur pula pemilihan meja batu granit yang turut menjadi hiasan meja pulau dan table top dapur kering menjadikan elemen moden mewah rumah saya lebih menyerlah.
“Di ruang makan juga saya letakkan lampu candelier sama seperti ruang tamu bagi membawa kesinambungan tema selain meletakkan bingkai islamik khat moden dalam rekaan sisik duyung,” ujarnya yang juga merupakan
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat bingkai hiasan islamik Khat, Dians Signature.

Katanya lagi, elemen sisik duyung juga menjadi kemasan pada dinding dapur kering menjadikan ruangan tampak lebih mewah dan elegan selain meletakkan aksesori hiasan berwarna hitam dan kabinet dalam rona kelabu.
Menaiki ruang atas, nuansa moden dan mewah dilanjutkan ke ruangan keluarga dihiasi rona coklat lembut.
Bilik tidur utama di tingkat tiga juga menampilkan tema sama dalam rona kelabu dalam pelbagai tona dari lembut ke sedikit gelap. Ruangan itu dibahagi kepada tiga pecahan iaitu kamar tidur, ruang santai dan bilik persalinan yang ditampilkan dalam tiga warna.

Bagi laman rumah, landskapnya direka secara minimalis tetapi masih memberikan nuansa moden dalam kehijauan rumput permaidani dan pokok hiasan serta meja kopi kayu bagi bersantai bersama keluarga.
“Untuk dekorasi rumah ini pada saya tidak perlu terlalu serabut, saya sukakan rona lembut dan kerana itu moden mewah sangat sesuai.
“Elemen mewah pula beri kepuasan dalam mencerminkan identiti kami sebagai ahli perniagaan, namun dizahirkan dalam dekorasi secara minimal menerusi aksesori terutama pada hiasan islamik khat,” kongsinya.














