KUALA PILAH – Kenaikan harga emas yang kini mencecah RM500 segram tidak sesekali menghalang peminat barangan logam itu untuk mendapatkan koleksi terbaharu.
Seorang wanita dikenali sebagai Ina, 50-an berkata, biarpun harga naik namun sekiranya mempunyai lebihan wang dia akan tetap membeli emas kerana barangan itu boleh digunakan pada waktu terdesak.
“Bayangkan sebelum kahwin saya dah kumpul emas. Dari harganya RM32 segram pada tahun 2000, kini harganya sudah mencecah RM442 di Kuala Pilah. Kuala Pilah lebih murah berbanding tempat lain.
“Jadi, setiap kali pulang ke kampung (Kuala Pilah), pasti saya akan beli walaupun jumlahnya kecil kerana emas ini boleh digunakan ketika keperluan mendesak nanti dengan harga jualan yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di salah sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah, di sini, kelmarin.
Sementara itu, tukang emas yang ingin dikenali sebagai Mei, 60-an, berkata, kedai emas tersebut merupakan milik keluarga mentuanya yang kini diusahakan bersama anak.
“Emas di sini memang sudah terkenal kerana harganya jauh lebih rendah dari tempat lain.
“Raya sudah habis, tetapi orang tetap datang untuk beli emas menggunakan duit raya mereka,” katanya.














