fbpx
Mustapha (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Zul Amirul ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi semalam. – Nor Shafawati Yup

Hidup jaguh renang OKU kembali bersinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kehidupan bekas atlet sukan renang paralimpik yang sebelum ini suram akibat jasanya dilupakan kembali berseri apabila kisahnya mendapat perhatian sekali gus dilantik sebagai jurulatih Persatuan Renang Para Negeri Sembilan.

Zul Amirul Sidi Abdullah, 53, menyifatkan ia sebagai impian menjadi kenyataan dan berterima kasih kepada yang membantunya kerana itulah harapannya selama ini.

“Sebelum ini saya berkecil hati apabila terasa seperti dilupakan, mungkin orang tidak tahu masalah saya.

“Saya akan kongsikan pe­ngalaman selama 17 tahun untuk melahirkan barisan pelapis sukan renang para Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi di sini semalam.

Sebelum ini, Kosmo! me­laporkan jasa bekas atlet sukan renang paralimpik kebangsaan bagaikan dilupakan terus walaupun namanya pernah dijulang selepas mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Zul Amirul yang merupakan orang kelainan upaya fizikal de­ngan kecacatan dari aras pinggang ke kaki telah bersara pada 2017 dan kini mendakwa dirinya tidak dihargai.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagor bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Ahmad Syariffuddin Sarmin.

Menurut Zul Amirul, hati­nya terubat apabila jasanya di­ingati dan diziarahi oleh pihak berkaitan.

“Terima kasih kerana kete­ngahkan cerita saya dan terima kasih kepada Datuk Mustapha kerana menjenguk saya. Bukan nilai bantuan yang saya pandang, tetapi hati lebih terubat apabila ada orang ingat kita, jenguk pun sudah cukup,” katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, lawatan ke atas Zul Amirul dilakukan selepas Menteri Besar membicangkannya di dalam menyuarat exco.

“Sumbangan diberikan untuk menyuntik semangatnya dan difahamkan dia juga sudah menerima surat pelantikan sebagai jurulatih atlet para,” katanya.

Beliau berpendapat, Zul Ami­rul mempunyai semangat dan minat yang tinggi dalam sukan dan adalah satu kerugian sekiranya pengalamannya tidak digunakan untuk melahirkan pelapis sukan renang para.

“Kemungkinan pihak-pihak tertentu terlepas pandang dengan kemampuan yang ada pada Zul Amirul, tetapi apabila dilaporkan ia telah membuka peluang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN