PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan dua sindiket dan sebuah makmal haram memproses dadah menerusi Ops Kenari 1.0 di Kedah baru-baru ini.
Seramai 56 individu termasuk seorang anggota polis ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM6 juta dirampas dalam operasi dijalankan JSJN Kedah dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi bermula 9 hingga 16 April itu dilakukan di Kuala Muda, Pendang, Alor Setar dan Pokok Sena.
Katanya, hasil tindakan dijalankan, pihaknya berjaya membongkar kegiatan sebuah makmal haram dan dua sindiket iaitu 18 serta 04.
“Tangkapan sindiket 18 membabitkan lima lelaki tempatan dan seorang wanita China berusia 30 hingga 50 tahun. Kita merampas dadah bernilai RM2.95 juta, sepucuk pistol serta 61 butir peluru hidup.
“Bagi sindiket 04, seramai lapan lelaki tempatan berusia 32 hinga 49 tahun ditahan dan merampas dadah bernilai RM186,00,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin berkata, tindakan operasi yang dijalankan di empat daerah lain turut menahan 41 individu termasuk seorang wanita disyaki pengedar dadahdan merampas dadah bernilai RM40,000.
“Satu lagi tangkapan dibuat ke atas lelaki Thailand berusia 37 tahun dan merampas dadah bernilai RM2.8 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” ujarnya.
Menurut Razarudin, dadah dirampas adalah syabu seberat 199.83 kilogram (kg), erimin 5 (10.21kg), ekstasi (2.6 kg) dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (24.82 kg).
Turut dirampas 1.43kg ganja, serbuk kimia (43.2kg), heroin (11.82kg), ketamin (930 gram), pil kuda (49), pil ekstasi (831), pil erimin 5 (180) dan 117 kartrij cecair vape serta 67 botol vape.
Katanya, sebanyak tiga buah kereta dan lapan motosikal disita dengan anggaran keseluruhan RM280,000.
Kata Razaruddin, seramai 50 individu yang ditahan positif dadah dan semakan mendapati 47 suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Tambahnya, kesemua suspek direman di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 Dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan rangkaian ahli sindiket yang masih bebas.
“Beberapa individu yang dikenal pasti akan diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 termasuk anggota polis terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE