fbpx
Nura mempunyai kebolehan menari dalam seni tari tradisional dan tarian-tarian lain.

Nura hebat menari, tetap pentingkan akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT namanya diumumkan sebagai penari terbaik perempuan bagi kategori 13 hingga 17 tahun dalam Konsert Qalam Noraniza Idris Kreatif Andani Peringkat Kebangsaan di Panggung Bangsawan Melaka tahun lalu, Nura Maysaa Muhammad Ayub bagai tidak percaya.

“Seriuslah, cikgu?” soal remaja berusia 14 tahun itu kepada gurunya, sebelum guru tersebut memeluk Nura Maysaa dan menangis.

Nura Maysaa atau lebih mesra disapa Nura itu mengakui, dia sama sekali tidak menyangka muncul penari terbaik, memandangkan dia tahu ramai lagi penari lain yang berbakat besar dalam pertandingan itu.

Namun, selepas melihat sijil dan trofi itu, hati kecilnya berbisik, bahawa dia layak untuk merangkul anugerah membanggakan itu memandangkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Shah Alam itu sudah bekerja keras untuk memberi persembahan terbaik dalam pertandingan tersebut.

Berkongsi dengan K-Remaja, Nura memberitahu minatnya terhadap tarian bermula sejak usia enam tahun, ketika dia belajar tarian balet di tadika.

Minat tersebut seterusnya berkembang selepas Nura menceburi tarian hip-hop sewaktu memasuki sekolah rendah serta mengakui dia amat mengagumi guru tariannya ketika itu.

“Sewaktu berusia lapan tahun pula, saya mula belajar tarian tradisional di akademi seni tarian Tunas Tari seperti tarian inang, joget dan zapin.

“Walaupun pada awalnya agak kekok, saya tidak berputus asa, malahan guru-guru juga banyak membantu serta memberi semangat kepada saya. Ditambah pula dengan sokongan daripada ibu tersayang, saya kemudian mencuba uji bakat bagi pencarian Permata Seni Tari dan berjaya diterima.

“Di sana, saya berpeluang belajar pelbagai jenis tarian seperti tradisional, hip hop, K-pop dan kontemporari. Sehingga kini, tarian masih menjadi minat utama saya,” katanya.

Ujar anak sulung daripada tiga beradik perempuan itu lagi, tarian etnik Borneo, terutamanya sumazau, rejang beuh dan ngajat adalah yang paling disukainya kerana lenggok tarinya yang bukan sahaja indah, tetapi juga penuh dengan makna dan tradisi yang mendalam.

“Saya suka bagaimana gerakannya yang anggun memberi rasa yang sangat menenangkan.

“Setiap kali saya menari atau menonton tarian-tarian ini, saya rasa seperti burung yang terbang bebas, rasa ringan dan anggun kerana setiap langkah menceritakan kisah yang indah dan membawa kita dekat dengan alam,” katanya.

Selain dinobatkan sebagai penari terbaik Konsert Qalam Noraniza Idris Kreatif Andani Peringkat Kebangsaan, Nura juga merupakan salah seorang daripada 27 penari bagi sebuah kumpulan yang baru-baru ini memenangi 16 anugerah kategori berkumpulan dalam sebuah pertandingan tarian peringkat antarabangsa yang berlangsung di Sepanyol.

Shehnaz (berdiri kanan sekali) memberikan sokongan penuh buat anaknya, Nura dan bakat-bakat muda untuk membabitkan diri dalam dunia seni tari.

Dalam pertandingan Super Grand Prix International Contest itu, kumpulan penari muda berusia antara tujuh hingga 19 tahun itu telah mempersembahkan 16 tarian kebudayaan masyarakat Melayu, Cina, India, Iban dan Orang Asli.

Biarpun aktif dalam dunia tarian, Nura tetap mementingkan akademik dan sentiasa mengimbangkan minat itu dengan pelajaran.

“Pada waktu rehat atau jika ada masa terluang, saya akan membawa buku untuk belajar atau menyiapkan kerja sekolah.

“Sekiranya saya terlepas sesi sekolah kerana menyertai pertandingan tarian, saya akan pastikan saya ‘kejar’ apa yang tertinggal itu melalui guru dan juga rakan sekelas,” katanya.

Nura turut menitipkan pesan buat remaja seusianya, yang mungkin mempunyai minat menceburi dunia tarian.

“Nasihat saya, jangan sesekali menyerah kalah. Saya pernah melalui masa-masa sukar apabila saya rasa saya tidak cukup baik dan tidak akan berkembang, tetapi saya sedar itu hanyalah fikiran yang bersifat sementara.

“Saya ingatkan diri saya bahawa ini hanya permulaan dan terus berusaha lebih keras. Ketekunan adalah kunci utama untuk berjaya, jadi jangan mudah putus asa walaupun perjalanan itu sukar,” katanya.

Berkongsi rasa tentang kejayaan anak sulungnya itu, ibu Nura, Shehnaz Shariff berkata, dia merupakan individu yang memperkenalkan Nura kepada dunia tarian.

“Saya juga merupakan bekas penari dan memandangkan tarian menjadi minat saya, saya cuba perkenalkan pada Nura.

“Sebagai ibu, saya suka Nura terlibat dalam bidang seni tarian tradisional yang merupakan salah satu warisan budaya yang sangat berharga dalam masyarakat kita.

“Ia bukan sahaja mempamerkan keunikan bangsa, tetapi juga menjadi medium pembelajaran yang penuh manfaat, terutamanya bagi kanak-kanak. Penglibatan kanak-kanak dalam seni tarian tradisional membawa pelbagai kelebihan dari sudut fizikal, emosi, sosial dan intelektual,” kongsinya.

Ulas Shehnaz tentang penglibatan kanak-kanak dalam seni tarian tradisional, ia sebenarnya membawa banyak manfaat yang menyeluruh dan ibu bapa serta masyarakat seharusnya menyokong minat itu agar warisan budaya terus hidup dan anak-anak dapat berkembang sebagai individu yang cemerlang dalam pelbagai aspek.

Berkongsi harapan tentang anak sulungnya itu, Shehnaz berharap agar Nura akan meneruskan minat dalam tarian.

“Sekarang ini, Nura sedang menduduki program Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang Seni Tari Tradisional di Permata Seni Tari.

“Harapan saya, semoga dengan sijil-sijil yang akan diperoleh nanti Nura dapat bantu kembangkan budaya kepada anak-anak bangsa.

“Mana tahu, jika masih minat nanti, sambil sambung belajar dalam bidang akademik, Nura boleh mengajar secara sambilan dan terlibat dalam persembahan tarian, sekali gus dapat menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Shehnaz turut menitipkan pesan buat ibu bapa yang mungkin ragu-ragu untuk memberikan sokongan kepada anak-anak yang mahu serius dalam bidang tarian.

“Penglibatan anak-anak dalam bidang kokurikulum ini juga sangat membantu untuk markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di sekolah.

“Sebagai contoh, penyertaan Nura dalam pertandingan di Sepanyol baru-baru ini bersama sekolah iaitu SMK (P) Sri Aman di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan, telah berjaya merangkul tiga pingat emas.

“Penglibatan antarabangsa dan kemenangan tersebut membuatkan Nura mendapat markah penuh PAJSK untuk kategori kelab dan persatuan.

“Justeru, saya galakkan ibu bapa untuk menyokong minat anak-anak selagi tidak bertentangan dengan nilai dan akhlak yang baik.

“Malah, kita boleh menjadikan penglibatan mereka dalam seni warisan ini sebagai ruang untuk mendidik, berkongsi dan membina hubungan yang lebih rapat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN