fbpx
Disebabkan spesifikasi kamera yang cepat berubah, Adira pernah tukar telefon bimbit setiap tahun.

Adira tukar telefon bimbit setiap tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT rakan seusianya sudah lama memiliki telefon bimbit, selebriti ini masih baru dalam penggunaan gajet sewaktu dia berusia 17 tahun.

Telefon bimbit jenis Nokia 3310 pemberian ibu bapa menjadi pendedahan pertama buat penyanyi, Adira Suhaimi kepada dunia teknologi yang mula berkembang pada ketika itu.

“Saya agak lewat terdedah dengan gajet, umur 17 tahun baru saya dapat telefon bimbit pertama dengan nada dering monofonik pada saat orang lain dah guna telefon polifonik.

“Bila guna telefon bimbit zaman dahulu, kita lama-lama akan dapat satu skil yang budak sekarang tak ada iaitu menaip mesej dengan laju tanpa tengok skrin,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno di sebuah majlis di Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, sejak gajet pertama, dia sentiasa mengambil tahu perkembangan gajet terutama peranti telefon dan kerap bertukar telefon baharu dari era telefon bimbit biasa ke telefon pintar.

Kongsi Adira lagi, antara sebab dia kerap menukar peranti telefon kepada versi lebih canggih kerana minatnya dalam mengambil gambar dan merakam video seperti vlog.

Nokia 3310 telefon bimbit pertama Adira pada usia 17 tahun walaupun sudah era polifonik ketika itu.

Bagi minat itu, dia lebih selesa menggunakan telefon pintar kerana semuanya boleh dilakukan pada satu peranti, malah dia juga kurang mahir untuk menggunakan kamera biasa.

“Saya dahulu boleh dianggarkan akan menukar telefon setiap tahun, bila ada telefon lebih canggih saya akan tukar sebab mahukan spesefikasi kamera yang lebih baik.

“Pada masa sama sebagai perempuan, mahu beli gajet perlu tengok kamera dahulu, kualiti dia baik atau tidak, nampak cantik tak bila tangkap gambar, semua itu menjadi penilaian untuk sebuah peranti,” ujarnya.

Katanya lagi, selain gajet telefon pintar, dia juga ada memiliki gajet-gajet lain seperti komputer riba dan juga mikrofon khusus untuk persembahan nyanyian.

Bagi kedua-dua gajet ini, Adira mengatakan bahawa ia lebih kepada kegunaan untuk bekerja dalam kerjayanya sebagai penyanyi dan usahawan.

Dalam kehidupan, Adira mengatakan bahawa dia boleh dikategorikan sebagai pengguna yang biasa berkaitan tentang gajet.

Tambahan pula kini, sebagai seorang ibu, dia lebih mengambil tahu tentang teknologi untuk seiring dengan anak-anaknya yang merupakan generasi Z.

Malah, dalam penggunaan media sosial juga, dia kini lebih kepada menggunakannya untuk memuat naik kandungan buat peminat daripada melihat kandungan-kandungan lain.

“Sebagai selebriti, mengetahui perkembangan teknologi itu penting kerana dalam era masa kini gajet banyak membantu terutama dalam pembuatan lagu serta menambah baik kualiti persembahan.

“Pada masa sama sebagai seorang ibu, saya juga sentiasa up to date tentang teknologi.

“Kita perlu tahu sedikit sebanyak agar dapat membentuk penggunaan teknologi anak-anak yang lebih cepat belajar,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN