Program Kaed Nur Ramadan anjuran Kuliah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diadakan Ramadan lalu memperkukuh kefahaman mahasiswa bahawa menuntut ilmu bukan sekadar untuk kejayaan akademik semata-mata tetapi bagi membentuk akhlak dan ketakwaan kepada Allah.
Dalam konteks Kaed Nur Ramadan, pendekatan itu diterapkan melalui aktiviti-aktiviti seperti tadarus al-Quran, kuliah agama, program keusahawanan serta sesi perkongsian ilmu bersama tokoh ilmuwan dan alumni.
Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti UIAM, Prof. Madya Dr. Syakir Amir Ab. Rahman berkata, program itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendekatkan diri dengan ajaran Islam secara lebih mendalam.
“Sebagai sebuah universiti yang berpaksikan kepada nilai-nilai Islam, kuliah ini sentiasa berusaha untuk menerapkan konsep ilmu sebagai satu bentuk ibadah.
“Kaed Nur Ramadan menjadi wadah terbaik bagi mahasiswa untuk memahami bagaimana ilmu dan amalan Islam harus bergerak seiring,” katanya di UIAM, Gombak baru-baru ini.

Tambahnya, ia juga seiring agenda Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan membentuk masyarakat yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesaksamaan, kesejahteraan dan kelestarian.
Katanya, dalam konteks mahasiswa, ia menekankan kepentingan pendidikan yang berintegrasi dengan nilai-nilai Islam dan kemasyarakatan.
“Sehubungan itu, Kaed Nur Ramadan turut menggariskan elemen-elemen utama Agenda Madani dalam setiap program yang dianjurkan.
“Salah satu inisiatif adalah program ‘Mawaddah Students Iftar Distribution’ yang menyemarakkan semangat Ramadan melalui agihan makanan kepada mahasiswa yang mana inisiatif ini memperkukuh nilai kesukarelawanan, ukhuwah dan semangat perkongsian rezeki,” katanya.
Seorang mahasiswa, Ahmad Asyraf Fahim yang menyertai Kaed Nur Ramadan menyatakan bahawa program tersebut memberikan impak besar kepada pembentukan peribadi mereka.
Pelajar tahun tiga jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah itu berkata, program tersebut membuka matanya tentang kepentingan keseimbangan antara akademik dan spiritual.
“Saya mula memahami bahawa ilmu yang kita peroleh bukan sekadar untuk kerjaya, tetapi juga untuk membentuk peribadi yang lebih baik dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Seorang lagi mahasiswa jurusan Seni Gunaan dan Rekabentuk, Muhammad Khairul Syafiq berkata, program yang turut menekankan konsep Madani itu menjadikan siswa lebih sedar tentang peranan mereka dalam membentuk masa depan negara.
“Melalui program seperti ini, saya belajar bahawa sebagai mahasiswa, kita bukan sekadar penuntut ilmu, tetapi juga pemimpin masa depan yang perlu membangunkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam,” katanya.














