PUCHONG – ‘Rumah saya musnah, tapi saya tak akan tinggalkan kampung ini. Terlalu banyak kenangan yang tak mampu dibeli dengan wang ringgit.’
Itu luahan penuh emosi penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Yaakob Yusof, 74, yang tinggal di kawasan berkenaan sejak tahun 1975.
Dia merupakan salah seorang mangsa letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, baru-baru ini.
Mengimbau detik kejadian, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersara pada 2008 itu berkata, dia berada di dalam rumah bersama isteri, anak dan empat cucunya ketika letupan berlaku.
“Bunyi batu hempap zink rumah sangat kuat. Setengah jam saya duduk dalam rumah sebelum keluar.
“Dalam rumah tak rasa panas, tapi bila keluar, panasnya, Tuhan saja tahu. Ada jiran sampai rendam badan dalam air di longkang berhampiran,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.
Tambah Yaakob, rumah kayu warisan miliknya menyimpan seribu satu kenangan bersama isteri dan anak-anak sejak awal perkahwinannya pada 1972, hangus terbakar. Turut musnah sebuah lori lama yang disayanginya.
“Saya datang sini dari Tanjung Karang, bina hidup dari kosong. Rumah ini bukan sekadar papan dan paku, rumah ini penuh cerita hidup saya,” katanya sebak.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zoolkepli Mohd. Yusuf, 65, berkata, walaupun kediamannya terletak hanya 200 meter dari lokasi letupan, dia bersyukur kerana keluarganya terselamat dalam kejadian berkenaan.
“Ketika kejadian, saya, isteri dan empat anak berada di rumah. Bunyi (letupan) macam gas masak tapi 10 kali ganda kuat. Api naik tiba-tiba, ingatkan ribut. Bila buka pintu, kawasan (sekitar rumah) dah kuning.
“Tapi saya reda. Kalau Tuhan kata nak jadi, jadi juga. Walaupun kita duduk jauh (berpindah dari kawasan ini). Tuhan kata nak jadi sesuatu bencana kepada kita tetap akan terjadi,” kata pesara guru yang lebih mesra dipanggil Cikgu Zul.
Dia yang telah 36 tahun menetap di kampung itu menolak untuk berpindah ke tempat lain walaupun memiliki rumah di bandar.
“Kalau tinggal bandar, saya tak boleh bela itik. Di sini saya bebas, tenang. Selepas pencen inilah terapi saya,” ujarnya.
Cikgu Zul turut berkongsi walaupun rumahnya hanya rosak pada bahagian bumbung, namun dia tetap berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak hari kejadian hingga Jumaat lalu demi keselamatan keluarga.
“Ini tragedi paling teruk saya pernah alami. Pernah berlaku banjir teruk pada tahun 2018, tapi ini (kebakaran paip gas) lagi dahsyat,” tambahnya.















