fbpx
DR. Sangeeta memeriksa mata Astiah sambil ditemani Mohd. Noor dan Alice (kanan) selepas pembedahan katarak selesai di Hospital Columbia Asia, Seremban semalam. – NOR SHAFAWATI YUP

‘Alhamdulillah, saya boleh melihat seperti biasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Impian seorang lelaki warga emas dikenali ‘Pak Cik Petai’ untuk memastikan isteri­nya kembali ‘melihat’ seperti bia­sa termakbul selepas wanita itu selesai menjalani pembedahan katarak mata kanan di Hospital Columbia Asia di sini semalam.

Pembedahan ke atas Astiah Yaakob, 64, dijalankan oleh Pakar Perunding Oftalmologi, Re­tina Perubatan dan Uveitis, Dr. K.Sangeeta bermula pukul 9 pagi dan selesai 30 minit kemudian.

Astiah yang ditemui selepas selesai pembedahan melahirkan rasa syukur apabila proses pembedahan berjalan lancar sehingga membolehkan dia meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Alhamdulillah saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

“Sebelum ini, mata sebelah kiri terang, tapi sebelah lagi tidak boleh memandang lama-lama. Boleh nampak tapi kabur,” kata­nya di sini semalam.

Pak Cik Petai atau nama sebenarnya, Mohd. Noor Sidek, 67, sebelum ini tular di media sosial susulan tindakannya membuang kesemua barang jualan di jalan raya sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan berniaga petai menggunakan motosikal.

Warga emas itu memberitahu, dia berniaga kerana mahu mengumpul duit untuk pembedahan katarak mata isterinya.

Sementara itu, Mohd. Noor mengakui tiada yang dapat diucap­kan selain berterima kasih kepada pihak hospital dan semua pihak yang membantu menjayakan pembedahan katarak mata isterinya secara percuma.

“Mungkin kalau duduk di rumah, dia (isteri) boleh menyapu sampah, masak nasi. Jadi lebih mudah dan teratur,” katanya.

Sementara itu, Dr. Sangeeta berkata, katarak Astiah berada pada tahap kritikal dan serius sebelum pembedahan dijalankan.

“Pembedahan dapat dibuat secara laser. Diharapkan pemulihan mata Astiah selamat dan beransur pulih.

“Dari segi penjagaan awal, mata dia tidak boleh kena air, kebersihan sangat penting serta kawalan gula kerana pesakit ada kencing manis,” katanya.

Dalam masa sama, Ketua Pengawai Eksekutif Hospital Columbia Asia Seremban, Alice Chong berkata, bantuan perkhidmatan percuma diberikan kepada keluarga Pak Cik Petai dengan menawarkan pembedahan katarak percuma kepada isterinya sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR)

“Kita akan meneruskan program CSR ini kepada orang kurang berkemampuan terma­suk dalam bantuan perubatan yang boleh diberikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN