PETALING JAYA – Lambakan ubat kuat yang dijual secara terbuka dan mengikut saranan pihak tidak bertauliah termasuk ‘doktor TikTok’ menyebabkan lelaki muda dibebani masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk.
Statistik terkini menunjukkan tujuh daripada 10 lelaki yang berusia lebih 40 tahun di negara ini dijangkiti ED pada tahun ini yang mana dahulunya penyakit tersebut sering dikaitkan dengan lelaki berusia.
Data juga menunjukkan seramai 199.9 juta lelaki di Asia dijangka mengalami ED menjelang tahun ini.
Lebih membimbangkan peningkatan ED dalam kalangan lelaki muda berlaku atas pelbagai faktor kesihatan mencabar seperti penurunan testosteron dan fungsi pembuluh darah.
“Faktor kesihatan lain termasuklah kencing manis, jantung, obesiti, darah tinggi, mental, tekanan dan kemurungan.
“Ramai lelaki muda mengalami stres akibat tekanan hidup yang semakin kompleks, tekanan kerja, masalah kewangan dan hubungan peribadi tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Zulkifli, penyakit tersebut mengganggu aliran darah yang penting untuk fungsi ereksi yang normal.
Selain itu, katanya, lelaki muda juga cenderung mengamalkan gaya hidup kurang aktif, mengabaikan diet sihat, banyak menghabiskan masa dengan aktiviti yang merosakkan kesihatan seperti merokok, meminum alkohol dan kurang bersenam.
Jelas beliau, terdapat rawatan yang disediakan bagi masalah tersebut, namun malangnya ramai pesakit cenderung untuk mencuba rawatan yang tidak terbukti keberkesanannya.
“Mereka mungkin membeli ubat-ubatan yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM) atau mengikut nasihat daripada sumber yang tidak sahih, seperti doktor TikTok,” katanya.
Beliau berkata, antara rawatan yang disarankan adalah penggunaan ubat seperti PDE 5 inhibitor yang telah menunjukkan keberkesanan dalam membantu pesakit mencapai ereksi yang memadai.
“Orang muda juga disarankan mengamalkan diet seimbang dengan banyak makan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan yang kaya dengan antioksidan dapat membantu mengekalkan kesihatan pembuluh darah dan meningkatkan fungsi seksual,” katanya.
Tambah Zulkifli, mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan seksual dan amalan gaya hidup sihat dapat membantu mencegah ED serta meningkatkan kualiti hidup lelaki secara keseluruhan.














