fbpx
Kejadian letupan paip gas turut menyebabkan rumah dan kendrin penduduk Kampung Kuala Sungai Baru rosak teruk. – ISKANDAR ISHAK

Emas RM20,000 cair kena bahang api Putra Heights

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Seorang suri rumah berputih mata apabila barang kemas miliknya ‘cair’ dalam kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini pada Selasa lalu.

Halimah Mohamed, 59, berkata, aksesori emas berupa anting-anting, gelang, rantai dan cincin itu dianggarkan bernilai lebih RM20,000.

“Semuanya cair. Duit, barang kemas, perabot, motosikal dan dua buah kereta musnah dijilat api. Kalau nak kira (jumlah) kerugian memang banyak.

“Sekarang kami memang buntu, lebih-lebih lagi tiada wang simpanan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini semalam.

Menurut wanita itu, kediamannya yang terletak di Kampung Sungai Kuala Baru, Batu 13 kira-kira 100 meter dari lokasi letupan saluran paip gas musnah 50 peratus.

OIeh itu, Halimah berkata, dia kini hanya mengharapkan bantuan tunai daripada pihak berkaitan seperti yang diumumkan sebelum ini dapat disegerakan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Jelas wanita itu, sebelum ini dia hanya bergantung dengan duit pencen suaminya yang juga pesara kerajaan.

“Kami hanya mengharapkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan, kami memang tak boleh nak buat apa-apa,” kata­ wanita itu.

Sementara itu, peniaga, Siti Aisyah Mohd. Nasir, 38, membe­ritahu, dia dan suaminya hilang punca pendapatan apabila ke­semua barangan perniagaan musnah dalam kejadian kebakaran tersebut.

“Kami menjual nasi lemak berhampiran rumah. Barang untuk berniaga dan katering musnah dan tempat berniaga juga tidak boleh dilalui sebab diisytiharkan sebagai zon merah.

“Itu pendapatan utama kami. Jika hendak kumpul modal untuk beli barang semula memang memerlukan masa,” katanya.

Siti Aisyah berkata, keluarga­nya kini tinggal sehelai sepinggang ekoran tragedi tersebut yang turut memusnahkan kediaman ibu bapa serta adiknya.

Dalam pada itu, suri rumah, Hasrina Nordin, 39, pula memberitahu, rumah dan kenderaannya rosak akibat bahang api yang melampau kerana jarak dengan tempat kejadian hanya 200 meter dari kediamannya.

“Anggaran kerugian termasuk rumah dianggarkan sebanyak RM250,000,” katanya.

Pada Selasa lalu, Kosmo! Online melaporkan letupan yang membentuk api ‘cendawan’ itu menjejaskan 529 penduduk daripada 118 keluarga dengan lebih 100 mangsa me­nerima rawatan di hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN