GOPENG – Majoriti kanak-kanak dan remaja yang dibuang oleh ibu bapa sendiri di Pondok Al-Jaafar pada mulanya berasa kecewa dan sedih kerana dipinggirkan selain tidak berpeluang menikmati kehidupan berkeluarga.
Bagi Ramli (bukan nama sebenar) yang berumur 15 tahun telah menetap selama lima tahun di pondok itu berkata, beliau pernah terfikir beberapa kali untuk melarikan diri.
“Saya masih kecil semasa itu, cuma saya ingat mak berjumpa dengan ayah (panggilan untuk Mohd. Tarudi) membawa bersama kelengkapan pakaian (saya) sebelum terus pergi tidak kembali lagi.
“Mulanya, saya berasa kekok dan kecewa kerana ditinggalkan begitu sahaja, selain perlu menyesuaikan diri di pusat jagaan ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Dia telah beberapa kali meminta pihak pengurusan pondok itu untuk menghubungi ibu atau bapanya tetapi gagal.
“Saya cuba diberitahu ibu dan bapa saya telah berpisah dan kemudian berkahwin lain dengan pasangan masing-masing dan hidup bahagia.
“Ibarat saya dan dua adikyang lain dibuang atau di ‘delete’ sahaja dalam kehidupan mereka.
“Ini benar-benar mengecewakan,” katanya.
Katanya, selama beberapa bulan dia dan dua orang adiknya bersedih dan pernah jatuh sakit kerana ditinggalkan keluarga.
“Lama kelamaan, kami dapat menyesuaikan diri dan kasih sayang ayah dan keluarga (pekerja pondok) yang menganggap kami seperti keluarga sendiri,” katanya.
Bagi Syamil (bukan nama sebenar), 14, perceraian bapa dan ibunya menyebabkan dia bersama ibunya terpaksa mengemis dan tidur di bawah jambatan untuk beberapa tahun.
“Bapa pun seorang penagih dadah dan sering bertukar-tukar kerja. Hidup kami ibarat neraka sehingga pada satu hari ibu tidak bertahan lagi dan meminta diceraikan.
“Setelah ibu diceraikan, saya dihalau bersama ibu dari rumah. Selepas itu bermacam-macam pekerjaan dilakukan ibu seperti kerja di kedai makan, mengumpul kotak dan sisa sampah yang boleh dikitar semula.
“Pendapatannya tidak seberapa, Kami tidak boleh menyewa bilik apatah lagi rumah sewa cukup-cukup makan sahaja,” katanya.














