SANIAH bersama suaminya Ishak Kamis menunjukkan gambar Mohamad Akmal yang hilang di Pulau Mawar di Mersing sejak 1 Februari 2023 lalu.

‘Adik tak meninggal dunia cuma dia hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Rindu seseorang yang diketahui akan pulang pasti ter­lerai apabila individu itu muncul depan mata, namun merindui orang yang tidak diketahui kedudukannya dan bertemu sesekali di dalam mimpi amat menyakitkan.

Demikian luahan rasa, Saniah Bibet, 54, yang merindui anak bongsunya, Mohamad Akmal Hakimi Ishak, 22, yang hilang di Pulau Mawar di Mersing sejak 1 Feb­ruari 2023.

Menurutnya, Syawal kali ini adalah tahun ketiga penuntut Diploma Kejuruteraan Marin Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Lumut Perak itu tidak bersama mereka.

“Sesekali saya bermimpi dia (Akmal) datang sambil terse­nyum dan ia hadir setiap kali bacaan al-Quran ditujukan kepadanya. Malah anak sulung saya juga turut bermimpi adiknya berada tinggi di atas gunung.

“Keadaan itu amat menya­kitkan, kenapa saya hanya boleh menemuinya dalam mimpi dan bukan di alam nyata,” katanya ketika ditemui Kosmo! .

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, meskipun sudah ­lebih tiga tahun anaknya hilang tanpa khabar berita, jauh di­sudut hatinya yakin Mohamad Akmal masih hidup dan akan pulang ke pangkuan keluarga.

“Kami akan ke Pulau Mawar pergi ‘jumpa’ adik, bukan tak reda atau pasrah, namun hanya untuk melepaskan kerinduan yang sekian lama terpendam.

“Barang peribadi dan pakaian dia masih tersimpan rapi, apabila rindu saya akan peluk dan cium seolah-olah adik ada. Adik tak meninggal dunia cuma dia hilang belum jumpa,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Mohamad Akmal, Saniah berkata, anaknya suka mengembara dan melakukan aktiviti lasak di tempat-tempat atau lokasi cantik seorang diri untuk merakam gambar serta memori indah.

“Memang sebelum kehilangan dia, tak ada perubahan apa pun sebab dia seorang yang suka buat aktiviti rekreasi sendirian naik motosikal, ambil gambar dan pos dekat media sosialnya.

“Jadi saya sudah faham hobi dia macam mana, tak ada rasa pelik apa pun, namun pada 1 Februari 2023 itulah kali terakhir dia cakap nak pergi Mersing dan sampai sekarang tak balik-balik,” katanya.

Bercerita tentang Aidilfitri, Saniah berkata, menu kegemaran anaknya lontong dan sambal goreng jawa selain Mohamad Akmal adalah orang yang paling sibuk membaiki barangan elektrik rosak agar dapat digunakan untuk persiapan raya.

“Kini hanya gambar-gambar kenangan ketika bersama dijadikan tatapan untuk melepaskan rindu yang tidak berpenghujung ini,” ujarnya.

Akmal Hakimi dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit di Pulau Mawar, Mersing seorang diri pada 1 Februari tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, polis me­nemukan motosikal dipercayai milik Mohamad Akmal dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira pukul 11.30 pagi dua hari selepas dia dilaporkan hilang sebelum kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN