KUALA NERUS – Seorang warga emas dipanjangkan usianya sampai 90 tahun sehingga dapat melihat lebih 200 ahli keluarga, terdiri daripada anak, cucu, cicit dan piut.
Setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tiang Kulat di sini, rumahnya pasti riuh rendah dengan suara kanak-kanak serta gelak tawa ahli keluarga.
Mat Zin Abdullah berkata, keluarga besarnya berkembang sehingga lima generasi dan akan berkumpul di rumah pusakanya pada pagi Syawal selepas bersama-sama bergotong-royong mengemas, memasak dan menyediakan juadah untuk meraikan Aidilfitri.
Katanya, selain mempunyai 14 anak dengan dua daripada mereka telah meninggal dunia, dia kini memiliki 99 cucu, 128 cicit dan empat piut. Kesemuanya pulang secara berperingkat sejak kelmarin.
“Saya sebenarnya kurang sihat (akibat tekanan darah rendah) dan terpaksa ditahan di dalam wad Hospital Sultan Zainal Abidin (di sini) selama dua hari, sebelum dibenarkan keluar kelmarin (Khamis).
“Begitupun kepulangan anak cucu membuatkan saya kembali segar dan rasa tidak sabar menyambut raya yang dijangka lusa (Isnin),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tiang Kulat di sini kelmarin.
Menurutnya, Aidilfitri lebih bermakna dan membahagiakannya apabila dapat bersahur, berbuka puasa dan menunaikan solat fardu serta sunat jemaah beramai-ramai bersama empat generasi pewarisnya pada penghujung Ramadan ini.
Kata Mat Zin, isterinya, Zainab Mat Ali telah meninggal dunia 19 tahun lalu dan keriuhan anak cucu serta cicit bergotong-royong membuat persiapan raya amat membahagiakannya.
“Ini nikmat Allah yang amat saya syukuri. Saya berdoa agar terus diberi kesihatan untuk menyaksikan mereka terus mengekalkan silaturrahim.
“Walaupun kebanyakan anak cucu memiliki rumah sendiri berdekatan, mereka tetap akan berkumpul bersama-sama membuat persiapan raya di rumah pusaka saya,” katanya.
Seorang cucu Mat Zin, Safuwan Mohd. Saidi, 34, berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini bagaikan perhimpunan hari keluarga buat mereka.
Kakitangan sebuah universiti awam itu berkata, mereka anak beranak telah sepakat membahagikan tugas masing-masing bagi membuat persiapan menyambut raya bersama datuknya, Mat Zin.
“Kami bergotong-royong memasak juadah raya seperti nasi dagang, nasi minyak, nasi kapit (himpit), rendang dan ketupat (palas).
“Sebahagian lain pula ditugaskan mengemas rumah Atuk (Mat Zin) serta memasang pelita raya di laman,” katanya.
Anak ke-10 Mat Zin, Zubairiah, 50, pula berkata, bapanya merupakan sumber utama penyatuan keluarga besar mereka.
Katanya, mereka mencuba sedaya upaya berbakti bagi memastikan orang tua bahagia dan kebajikan terjaga terutama sejak kehilangan ibu pada 2006.
“Saya bersyukur kebanyakan anak-anak diberi rezeki menetap di sekitar negeri ini, tidak jauh dari rumah ayah kecuali seorang tinggal di Kedah.
“Ayah mempunyai 14 anak, tetapi dua sudah meninggal dunia terlebih dahulu. Kebetulan enam daripada kami tinggal di sekeliling rumah ayah. Ia memudahkan kami menjenguk dan menghantar makanan kepadanya setiap hari,” katanya.
Zubairiah memberitahu, kepulangan hampir 200 ahli keluarga sekali gus untuk menyambut raya bukan masalah besar kerana sebahagian daripada boleh menumpang tidur di rumahnya dan lima beradiknya yang lain.
Katanya, laman rumah bapanya dan mereka juga luas sehingga boleh menempatkan hampir 30 kenderaan pada satu-satu masa.
“Kami bersyukur ayah masih dipanjangkan umur. Selain masalah kesihatannya baru-baru ini, tenaga dan ingatannya masih kuat. Semua nama anak, cucu dan cicit masih diingati walaupun kami sangat ramai,” katanya.














