MENDAKI gunung merupakan hobi bagi seorang pemuda berusia awal 30-an itu. Dia sering melakukan aktiviti mendaki pada masa lapang, tidak kira secara berseorangan atau bersama rakan-rakan.
Kebanyakan gunung di Malaysia sudah didakinya, malah dia juga sudah menyelesaikan misi G7 iaitu cabaran mendaki tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang memiliki ketinggian lebih dari 2,000 meter.
Menurut Hazim (bukan nama sebenar), sepanjang mendaki, terdapat satu lokasi pendakian yang telah memberi satu pengalaman menyeramkan.
“Kejadian ini berlaku semasa saya dan rakan-rakan mendaki di Gunung Lawu, Jawa Tengah, Indonesia.
“Memang ramai yang bercerita bahawa tempat itu agak mistik, tetapi saya percaya jika niat kita baik tiada masalah akan berlaku.
“Namun, ada sesuatu yang tidak kami duga terjadi selepas selesai mendaki,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, sepanjang pendakian bersama empat orang rakan melalui jalur Singolangu, perjalanan mereka lancar dari awal sehingga akhir.
Selepas pulang ke inap desa, kejadian misteri mula berlaku, Hazim mula berasa tidak sedap hati melihat salah seorang rakannya, Alan bersikap aneh sejak turun dari gunung.
Alan kelihatan banyak mendiamkan diri, mukanya pucat dan tidak bercakap di sepanjang perjalanan dari gunung ke inap desa.
Awalnya, Hazim merasakan mungkin Alan kepenatan kerana mendaki, namun setelah seharian tidak keluar dari bilik, dia mula berasa bimbang dengan keadaan rakannya itu.
“Kami sampai di inap desa pada pukul 3 petang. Sejak itu, Alan hanya terperap dalam bilik sehinggalah masuk waktu maghrib, kami mendengar suara dia menjerit.
“Hal itu membuatkan kami terkejut dan terus berlari ke bilik Alan untuk melihat apa yang berlaku.
“Kami tidak sangka dia sedang dirasuk oleh makhluk halus,” ujarnya.
Ceritanya, Alan ketika itu sedang duduk di bucu katil.
Apabila Hazim dan rakan-rakan masuk ke bilik, Alan memandang mereka dengan pandangan tajam, sebelum ketawa.
Dua lagi rakan mereka cuba menyedarkan Alan, namun dia meronta dan ketawa dengan lebih kuat.
Hazim kemudian cuba mendapatkan bantuan dengan menghubungi pemilik rumah inap desa. Mereka bernasib baik kerana di kawasan itu ada orang alim.
Tidak lama setelah mendapatkan bantuan, orang alim yang juga merupakan imam masjid di situ cuba merawat Alan.
“Semasa proses ruqyah, imam cuba bercakap dengan makhluk berkenaan dan bertanyakan sebab dia mengganggu Alan.
“Makhluk itu mengatakan bahawa Alan ada mengambil sesuatu miliknya di gunung dan meminta supaya ia dipulangkan semula,” kongsinya.
Selepas mendapat kesepakatan, makhluk itu berjaya dikeluarkan dari badan Alan, sebelum dia kembali sedar.
Hazim bertanyakan kepada Alan, barang apa yang diambilnya dari gunung? Awalnya, dia tidak faham apa yang dimaksudkan.
Apabila diingatkan semula, Alan menyedari dia ada mengambil sebiji batu ketika berada di Pos 5, Cokro Paningalan.
Ceritanya lagi, Alan tidak berniat untuk mengambil batu itu dengan sengaja, perkara dilakukan kerana mengamalkan petua untuk menahan diri daripada sakit perut.
“Alan berkata, dia pernah diberitahu untuk menahan diri daripada sakit perut (buang air besar), dia perlu mengambil batu dan menyimpannya di dalam poket.
“Namun, dia tidak menyangka bahawa batu itu mempunyai pemiliknya.
“Bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku, kami kembali ke Gunung Lawu pada keesokan harinya, sebelum meletakkan semula batu tersebut di tempat asalnya,” katanya.














