fbpx
Nurmila (kiri) berkongsi pengalaman ketika ditemu bual Kosmo! di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu baru-baru ini.

‘Kerana suami, saya beraya dalam penjara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana berbeza dan penuh keinsafan bagi banduan yang pertama kali merasai pengalaman beraya di dalam penjara.

Biarpun pahit untuk ditelan kerana terpaksa beraya tanpa pasangan dan anak-anak di sisi, namun mereka sedar ‘tirai besi’ merupakan satu-satunya peluang untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.

Seorang tahanan yang mahu dikenali sebagai Nurmila, 34, (nama samaran) berkata, dia dimasukkan ke penjara pada tahun lalu kerana terbabit dalam kegiatan pemer­dagangan orang.

Wanita itu mengakui dia me­lakukan kesilapan besar yang memberi kesan kepada keluarga terutama tiga anaknya berusia lapan hingga 14 tahun yang kini dijaga oleh ibunya.

“Saya terlalu rindukan mereka (anak-anak) lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri. Ini kali pertama saya beraya tanpa anak-anak. Keadaan ini sudah pasti tidak mahu dilalui oleh mana-mana ibu di dalam dunia ini.

“Pengalaman berpuasa dan beraya kali ini sudah pasti berbeza. Saya di penjara, manakala anak-anak pula berada di luar.

“Tambahan pula dua anak saya menghidap talasemia dan perlu berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Penjara Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Nurmila berkata, dia sudah berpisah dengan suaminya yang didakwa menjadi punca dia terjebak dalam kes jenayah pemerdagangan manusia.

Jelasnya, perceraian itu berlaku atas nasihat ibunya yang mahu dia memulakan hidup baharu selepas keluar dari penjara pada tahun 2027.

“Pada mulanya saya sukar terima hakikat berada di sini (penjara). Selepas mengikuti kelas agama, saya sedar hukuman ini membuka peluang untuk saya berubah. Saya mahu sentiasa berada di samping anak-anak selepas ini,” katanya.

Nurmila memasang impian untuk menceburi perniagaan kosmetik secara dalam talian selepas dibebaskan kelak.

Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu ini menempatkan 2,800 tahanan atas pelbagai kesalahan termasuk bunuh.

Seorang lagi banduan dikenali sebagai Zie, 36, turut mengakui suasana Aidilfitri tahun ini sunyi tanpa anak-anak di sisi seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Ini kali pertama saya sambut Syawal tanpa anak-anak dan keluarga. Sejujurnya, saya berasa sunyi. Walaupun ada rakan-rakan senasib, ia tetap tidak sama seperti keluarga sendiri. Saya sangat rindukan anak-anak,” kata wanita itu.

Zie dimasukkan ke penjara sejak 10 Julai 2024 atas ke­salahan dadah. Wanita itu mula terjebak dengan musuh nombor satu negara tersebut sejak berusia dalam lingkungan 20-an sehingga menyebabkan dia ketagih walaupun sudah berkahwin dan mempunyai lima anak.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menempuh hidup selama empat tahun di penjara. Selain anak-anak, ibu yang berusia 66 tahun juga sakit,” katanya yang dijangka dibebaskan pada 17 November 2027.

Kerinduan Zie kepada keluarga sedikit terubat apabila dia mendekatkan diri dengan Tuhan dan membaca al-Quran. Wanita itu bersyukur kerana diberi ­peluang untuk dia berubah.

Bagi banduan bernama Murni, 44, dia yang menjalani hukuman penjara selama 30 tahun kerana menyebabkan kematian anak ti­rinya sudah beberapa tahun menyambut raya di tirai besi.

“Sebelum ini saya ditempatkan di beberapa penjara terma­suk di Terengganu dan Pahang. Saya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan kerana membunuh.

“Suami dan dua anak saya turut dihukum penjara kerana ke­salahan sama. Saya terima takdir ini,” katanya.

Laila, 57, pula memaklumkan desakan hidup menjadi punca dia terjebak dalam jenayah penipuan jual beli motosikal ketika bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat motosikal.

“Disebabkan terdesak wang untuk menanggung tiga anak yang masih belajar, saya tersilap langkah. Saya dipenjara selama 25 tahun bagi 10 kes me­nipu.

“Sudah lebih sembilan tahun saya menjalani hukuman dan beraya di dalam penjara. Saya sudah insaf dan anggap hukuman (penjara) bukan penamat hidup, tetapi sebaliknya proses pembe­lajaran,” kata wanita itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN