BANGI – Seorang pembantu veterinar lelaki sanggup berkorban dengan berhenti kerja selepas menerima panggilan daripada bapanya yang memaklumkan sudah tidak lagi mampu menguruskan diri akibat kanser usus dan paru-paru tahap empat selain penyakit kronik yang dihidapi sejak Disember lalu.
Muhammad Ashraaf Mohamad Tabarani, 32, nekad dengan keputusan itu demi memastikan kebajikan dan penjagaan rapi terhadap kesihatan bapanya, Mohamad Tabarani Selamat, 70, yang merupakan pesara pembantu jurutera.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada Disember tahun lalu bagi menjaga bapa secara sepenuh masa.
“Ayah yang sendiri menghubungi saya ketika saya sedang bekerja. Dia beritahu badannya sudah lemah dan tidak dapat menguruskan diri sendiri lagi. Saya terus mengambil keputusan untuk berhenti kerja serta-merta dan menjaga ayah sepenuh masa,” ujar Muhammad Ashraaf ketika ditemui Kosmo! di Bandar Baru Bangi, di sini baru-baru ini.
Menurut graduan bidang fizik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, bapanya sanggup menggajikannya sebagai penjaga peribadi sebanyak RM1,500 sebulan menggunakan wang pencen.
“Walaupun jumlah gaji yang diterima tidak setinggi bayaran ketika bekerja sebagai pembantu veterinar, namun keputusan ini adalah sebagai tanggungjawab dan kasih sayang seorang anak terhadap ayah.
“Saya bersyukur ayah sendiri yang sanggup nak bayar saya, tetapi lebih daripada itu, ini adalah tanggungjawab saya sebagai anak. Saya juga sudah biasa menemani ayah sejak dahulu lagi dan itu juga mungkin sebab ayah pilih saya untuk menjaganya ketika ini,” katanya.
Ujar pemuda yang masih bujang itu, bapanya kini menghidap pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, diabetes selain kanser usus dan paru-paru yang telah mencapai tahap empat.
“Selain itu, bapa saya juga mengalami masalah buah pinggang yang menyebabkan doktor terpaksa melakukan prosedur tebukan untuk membantu proses membuang air kecil,” katanya.
Muhammad Ashraaf mengakui tanggungjawab menjaga bapanya bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi tanpa latar belakang dalam bidang perubatan.
Namun, dia belajar daripada pengalaman empat tahun sebagai pembantu veterinar, bertanya kepada rakan-rakan yang berkecimpung dalam bidang perubatan serta mendapatkan bimbingan daripada kakitangan hospital ketika menemani bapanya menjalani rawatan.
“Menjaga ayah memang mencabar kerana ini sesuatu yang baru bagi saya. Walaupun saya pernah merawat haiwan ketika bekerja dahulu, menjaga manusia berbeza kerana perlu memahami emosi mereka,” jelasnya.
Dengan kedatangan Syawal semakin hampir, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, mereka sekeluarga lebih menumpukan kepada meluangkan masa bersama tanpa sambutan perayaan yang meriah.
“Setiap hujung minggu adik-beradik lain yang tinggal berjauhan akan pulang untuk berkumpul dan memberikan sokongan kepada ayah.
“Sejak pemergian arwah ibu, Noorshinah Hussin pada 2019, kami hanya bersederhana sambut Aidilfitri serta Aidiladha. Tahun ini kami hanya fokus kepada kesihatan ayah, yang penting adalah kebersamaan kami sekeluarga,” tambahnya.
















