fbpx
Ahli trip bersama sebahagian hasil sotong.

Berpuasa dan ‘eging’ di Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Team Seahawk Malaysia yang terdiri daripada saya, Mohd. Amirul, Hisyam, Mohd. Faisal, Gary Wei, Nor Hidayah dan Siti Zaleha telah turun ke perairan Pulau Pangkor, Perak dengan satu misi memburu sotong mengabang yang menjadikan struktur berbatu kubu serang hendapnya.

Dengan pengalaman luas dan peralatan terbaik, kami bersedia untuk menguji produk terbaharu keluaran Seahawk dan kecekapan teknik serta kesabaran mereka dalam cabaran eging di bulan puasa kali ini.

Persiapan dan perjalanan

Seawal pukul 7 pagi, ahli pasukan berkumpul di Jeti Lumut. Dengan cuaca yang baik dan laut tenang, semangat mereka semakin membara.

Masing-masing membawa senjata utama iaitu joran Seahawk Egi Meister dan Seahawk Calamari Egi berserta pelbagai jenis candat (egi) daripada Seahawk.

Pemilihan warna candat ini bukan sekadar ikut suka, tetapi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian terhadap tabiat sotong di perairan Pulau Pangkor.

Tepat pukul 7.15 pagi, feri mula bergerak membawa kami ke Jeti Pulau Pangkor dengan perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit. Setibanya di jeti, kami disambut oleh saudara Faizal Yusof yang merupakan orang tempatan di sana dan seorang penggiat eging tegar.

Amirul dengan hasil sotongnya.

Beliau membantu menyewa motosikal daripada Achik Transport Pangkor serta penginapan di Pangkor Palm Bay Resort di Teluk Nipah.

Oleh kerana masih terlalu awal dan belum masanya untuk daftar masuk ke bilik, kami membuat keputusan untuk terus turun memancing pada pagi itu. Nasib menyebelahi kami, apabila pihak resort memberi kebenaran menggunakan kawasan lobi untuk mempersiapkan peralatan memancing.

Setelah selesai, Faizal Yusof membawa kami ke satu tempat yang tidak jauh dari resort yang juga berada di dalam kawasan Teluk Nipah untuk mulakan aktiviti eging. Misi bermula.

Teknik betul, hasil mantap

Memancing sotong bukan sekadar melempar candat dan menunggu. Teknik seumpama jigging memainkan peranan penting apabila anda perlu memainkan joran dengan ritma tertentu untuk meniru pergerakan anak ikan atau udang.

Pada awal sesi, keadaan agak mencabar. Arus laut sedikit laju dan sotong nampaknya masih ‘bersembunyi’ di dasar. Namun, dengan kesabaran dan strategi yang betul, hasil pertama akhirnya muncul.

Amirul menjadi pemancing pertama yang menaikkan sotong mengabang dan disusuli Nor Hidayah yang berjaya mendapatkan sotong bersaiz lebih besar. Keadaan semakin rancak apabila sotong semakin aktif menyambar candat Siti Zaleha dan Hisyam pula.

Satu cabaran yang menguji kecekapan mereka adalah pemancing perlu bijak mengawal joran agar sotong tidak terlepas.

Curi tumpuan

Dalam trip kali ini, Siti Zaheha dan Nor Hidayah merupakan lady angler dalam pasukan yang berjaya mencuri perhatian. Dengan teknik yang kemas, mereka berdua menaikkan beberapa ekor sotong dalam tempoh singkat.
Tidak ketinggalan, Nor Hidayah mencatat rekod trip kali ini dengan menaikkan banyak sotong mengabang dengan menggunakan candat Seahawk Sparkle Squid jig.

“Masa tarik sotong, memang terasa berat. Mujur joran Seahawk Egi Miester ini cukup kuat untuk kawal pergerakan sotong,” katanya sambil tersenyum puas.

Menjelang tengah hari, sotong semakin galak menyambar candat. Namun, dalam dunia memancing, kejutan sentiasa ada.

Sedang asyik memancing, saya mengalami tarikan luar biasa. Joran melentur dengan kuat, semua menyangka seekor sotong gergasi, tetapi sebaik sahaja candat dinaikkan ke permukaan, rupanya seekor gamat melekat pada candat.

Dalam situasi air laut yang jernih, candat warna natural lebih efektif.

Kejadian ini mengundang gelak ketawa seluruh pasukan, rupanya bukan sotong sahaja yang ‘berminat’ dengan candat.

Sementara itu, Hisyam berjaya menaikkan tiga ekor sotong berturut-turut dalam masa kurang dari 10 minit, satu pencapaian yang membanggakan dalam dunia eging.

Berbuka puasa

Sebagai menghormati bulan Ramadan, Team Seahawk telah menganjurkan satu sesi berbuka puasa bersama pemancing tempatan bertempat di sebuah restoran.

Menu berbuka cukup istimewa, dengan hidangan segar dari laut seperti ikan dan paling menarik adalah beberapa sajian enak daripada sotong hasil tangkapan pada hari itu.

Program ini bukan sahaja menge­ratkan hubungan antara pemancing dan komuniti setempat, tetapi juga menjadi platform untuk bertukar pengalaman serta teknik eging yang berkesan di kawasan tersebut.

Rahsia kejayaan

Salah satu faktor utama kejayaan trip ini adalah pemilihan candat yang tepat dan teknik betul. Antara candat yang menjadi ketika trip kali ini adalah Seahawk Sparkle Squid Jig Orange TRL yang menjadi pilihan utama Nor

Hidayah untuk sotong bersaiz kasar, Seahawk Sparkle Squid Jig Pink TRL dan Yellow Red Head yang digunakan
oleh Siti Zaleha dan Amirul.

Sementara, Seahawk Sparkle Squid Jig Red Head Blue dan Purple terbukti berkesan di air lebih dalam dan gelap.

Teknik yang paling menjadi dalam trip ini adalah pause and twitch. Caranya, candat dibiarkan tenggelam beberapa saat sebelum digerakkan perlahan-lahan. Teknik ini berjaya menarik perhatian sotong yang lebih culas iaitu ia lebih berhati-hati sebelum menyambar umpan.

Trip diakhiri dengan hasil tangkapan yang membanggakan iaitu lebih 30 ekor sotong berjaya dinaikkan.

Selain hasil tangkapan, apa yang lebih penting adalah pengalaman dan keseronokan sepanjang trip ini. Memancing bukan sekadar menangkap ikan atau sotong, tetapi menikmati alam semula jadi serta mengeratkan hubungan sesama pemancing.

Bagi mereka yang ingin mencuba pengalaman eging yang mencabar dan menyeronokkan, Pulau Pangkor sememangnya destinasi yang wajib dikunjungi. Hasil dan kesimpulan trip eging di pulau ini sememangnya tidak mengecewakan. Jumpa lagi di dalam trip seterusnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN