SEREMBAN – Biarpun harga tiket bas ekspres untuk pulang berhari raya mengalami sedikit kenaikan berbanding tahun lepas, namun jualan tiket bagi perjalanan ke Pantai Timur tetap laris dan sudah terjual sekitar 80 peratus.
Kenaikan itu dikatakan disebabkan oleh kos operasi dan penyelenggaraan bas yang semakin meningkat.
Sebagai perbandingan, harga tiket untuk perjalanan Seremban ke Kuala Terengganu adalah RM90 berbanding RM60 sebelum ini.
Tinjauan di Kaunter Tiket Berpusat, Pusat Pengangkutan Terminal 1 Seremban, di sini mendapati, orang ramai datang untuk mendapatkan tiket bagi perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
Seorang pekerja kaunter sebuah syarikat bas ekspres, Rohayu Abu Manaf 56, berkata, memang berlaku kenaikan harga pada harga tiket, namun orang ramai masih membelinya untuk pulang berhari raya di kampung.
Katanya, setakat ini bagi perjalanan ke Pantai Timur sudah 80 peratus tiket terjual.
Bagi tiket bas ke Kuala Terengganu pula katanya, sudah habis dijual sejak kaunter jualan dibuka minggu lepas.
“Walaupun ada tiket bas sudah habis dijual, namun masih ada lagi beberapa syarikat bas ekspres belum membuka trip perjalanan untuk musim perayaan.
“Mungkin ada syarikat pengendali bas ekspres akan membuka lagi perjalanan tambahan di saat-saat akhir.
“Malam raya pun mungkin ada lagi, tetapi setakat ini saya dimaklumkan tiada bas tambahan,” katanya di sini semalam.
Tinjauan juga mendapati, tiket bas ekspres bagi perjalanan ke utara seperti Butterworth, Pulau Pinang masih banyak belum terjual.
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Idrus Hamid 37, berkata, dia membeli awal tiket untuk pulang ke kampung di sebuah negeri di Pantai Timur bagi mengelakkan ia habis.
“Saya sudah sedia maklum, tiket bas memang akan habis awal terutama ke Pantai Timur. Jika terlambat sudah pasti akan habis,” katanya.
Seorang pelajar, Hanisah Jaafar 28, berkata, bas menjadi pilihan utama sebagai pengangkutan pulang ke kampung walaupun ada kenaikan harga.
“Nak buat macam mana (harga naik) kena tetap beli juga sebab permintaan sangat tinggi pada musim perayaan,” katanya.















