fbpx
SERAMAI 20 alumni UMPSA bertemu kembali di universiti itu untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

K2

Alumni staf UMPSA bertemu semula, sama-sama tanam pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERAMAI 20 alumni dalam kalangan staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kembali bertemu di alma mater kesayangan mereka selepas sekian lama berpisah.

Mereka termasuklah mantan naib canselor, timbalan naib canselor, pendaftar, dekan, pengarah-pengarah dan staf pengurusan serta pentadbiran yang pernah menyumbang bakti di UMPSA sebelum ini.

Antaranya ialah Naib Canselor ketiga, Prof. Emeritus Datuk Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Naib Canselor kelima, Prof. Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Hadir menyambut kehadiran alumni ialah Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias yang begitu terharu dan bersyukur kerana berpeluang bersua muka dengan insan-insan yang telah banyak berjasa kepada universiti.

“Tanpa pengorbanan, dedikasi dan sumbangan yang diberikan, mustahil universiti ini dapat berdiri teguh seperti hari ini.

“Malahan, setiap masa yang anda luangkan, tenaga yang dikorbankan dan idea yang anda sumbangkan telah meninggalkan kesan dalam pembangunan universiti ini.

“Anda bukan sekadar bekas staf dan pesara, tetapi menjadi legasi hidup yang terus menginspirasi kita semua,” katanya dalam ucapan perasmian baru-baru ini.

MANTAN staf UMPSA berpeluang mengikuti aktiviti penghijauan dikenali sebagai Rimba Komuniti.

Dalam program tersebut, turut diadakan aktiviti penghijauan dikenali sebagai Rimba Komuniti.

Ia melibatkan penanaman sebanyak 60 anak pokok hutan pelbagai jenis yang dikenal pasti sesuai dengan persekitaran dan tanah di tapak kampus.

Antaranya, anak pokok jenis meranti tembaga, keruing kertas, balau pasir, keladan, merbau, cengal, kulim dan anak pokok petai di tapak Rimba Komuniti yang berkeluasan 6.7 ekar (2.71139 hektar).

PARA peserta merasai madu yang dihasilkan dalam salah satu projek warga UMPSA.

Berbalik kepada program asal, Yatimah memberitahu, ia diadakan bertujuan menghubungkan semula pesara dan bekas staf dengan UMPSA di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

Ia juga bagi meraikan sambutan ulang tahun UMPSA ke-23 baru-baru ini.

“Para peserta turut dibawa melawat sekitar kampus di Pekan, Pahang dan diberi penerangan berkenaan perkembangan semasa pembangunan kolej.

“Antara lokasi yang dilawati adalah Rimba Lestari, Sistem Panel Solar dan masjid UMPSA, sekali gus mengubat kembali rindu para alumni,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN