Gadis Pesona Ahad minggu ini, Aimi Sarafana Balqis Kamaruddin, 23, memecah tradisi keluarga yang menjurus bidang perakaunan dengan melanjutkan pengajian dalam jurusan Komunikasi dan Media di Universiti Cardiff, United Kingdom.
Manis disapa Aimi, gadis berasal dari Damansara, Selangor ini mendapat sokongan penuh ibu bapanya yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang media.
Gadis jelita yang mempunyai minat mendalam dalam dunia perniagaan ini berkongsi pengalaman dan impiannya pada masa hadapan kepada Kosmo! Ahad.
KOSMO! AHAD: Kongsikan tentang diri anda?
AIMI: Suka membaca buku tentang kehidupan dan manusia. Saya ada vlog, ‘medan’ untuk saya berkongsi tentang diri. Sebagai seorang yang menghargai masa, saya akan mencatat aktiviti bersama orang yang tersayang kerana ia boleh menjadi panduan untuk saya baiki diri menjadi seorang yang lebih baik.
Aimi belajar akaun, kenapa pilih komunikasi?
Pada awalnya, saya tidak pasti untuk memilih bidang media kerana merupakan pelajar perakaunan. Tetapi dorongan ibu buatkan saya berada di sini, melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi dan media.
Kiranya, saya pecah tradisi adik beradik semua dalam bidang akaun.
Kongsikan tentang Ramadan, Aidilfitri di UK?
Tahun pertama beraya di sini tanpa keluarga. Jika tahun lalu ada abang menemani dapatlah ke rumah rakyat Malaysia, di kedutaan beraya tetapi tahun ini dengan kawan-kawan saja. Memandangkan hari raya pertama di sini tidak cuti, jadi Aimi pakai baju raya ke kelas.
Sambutan Aidilfitri adalah sesuatu yang besar buat kita di Malaysia, tetapi di sini mereka tidak merayakannya. Jadi, saya perlu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Tiga perkara menarik tentang anda?
Pandai masak dan selalu terima pujian daripada kawan-kawan. Saya suka bercakap dan kenal dengan orang baru. Minat dengan dunia perniagaan dan pernah berniaga bersama rakan-rakan waktu kanak-kanak dan ketika ambil diploma.
Ciri-ciri lelaki pilihan anda?
Suka lelaki yang bekerja keras dan yang boleh terima keluarga lebih-lebih lagi ibu bapa saya. Jika ibu bapa saya tidak restu, saya percaya lelaki itu bukan untuk saya.
Siapa anda lima tahun lagi?
Usahawan kosmetik. Kalau boleh, saya mahu fokus dalam bidang kecantikan, keluarkan produk kosmetik atau penjagaan kulit dan fesyen.
Nasihat berguna yang dipegang?
Tiada guna ada duit yang banyak tetapi ilmu ‘kosong’. Sebagai umat Islam, menambah ilmu juga salah satu ibadah dalam agama.
Paling penting kepada yang masih ada ibu bapa, tanyalah pendapat mereka kerana kadang-kadang mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.
Buang rasa takut dan jadilah seorang yang berani. Rugi jika tidak percaya pada diri sendiri. Bagi saya, jika orang lain boleh buat, tiada yang mustahil buat saya.
Kisah hidup jadi pengajaran?
Berkawan biar ramai kerana mereka datang dan pergi. Belajar simpan duit kerana dahulu saya seorang yang suka berbelanja.
Bagaimanapun semua berubah apabila saya mula membuat paid review, baru tahu betapa sukarnya mencari duit. Saya amalkan prinsip 50 peratus keperluan simpanan serta kemahuan masing-masing 30 dan 20 peratus.














