fbpx
PESERTA konvoi Rangga Bikers ketika misi ke Selatan Thailand pada November lalu.

Memori konvoi bermotosikal di selatan Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELATAN Thailand merupakan wilayah yang kaya dengan sejarah serta budaya Melayu, meliputi kawasan seperti Narathiwat, Yala dan Pattani. 

Wilayah-wilayah ini memiliki populasi masyarakat Melayu yang masih mengekalkan bahasa, adat dan tradisi mereka.

Walaupun sering dikaitkan dengan cabaran keselamatan, namun ia tidak menghalang 30 penunggang motosikal di bawah kumpulan Rangga Bikers untuk menjelajah wilayah tersebut pada November tahun lalu. 

Menurut ketua konvoi, Mohd. Nor Sulaiman, kembara selama empat hari tiga malam itu bertujuan untuk melihat perkampungan Melayu di negara jiran tersebut.

“Penduduk di Selatan Thailand terutamanya di Narathiwat, Yala dan Pattani masih fasih bertutur dalam bahasa Melayu, selain berkongsi banyak persamaan budaya dengan masyarakat di Malaysia.

“Mereka terkenal dengan sifat mesra dan sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong dari Malaysia ke kampung mereka,” katanya kepada CitaRasa.

Perjalanan konvoi bermula dari Gombak, Selangor dengan hentian pertama untuk sarapan di Lemang To’ki, Bentong, Pahang. 

Selepas menikmati sarapan, konvoi bergerak ke Raub dan meneruskan perjalanan ke Gua Musang, Kelantan melalui jalan dalam.

Setibanya di Kuala Krai, peserta konvoi menikmati makan tengah hari sebelum menuju ke hotel untuk bermalam.

PESERTA konvoi bergambar di hadapan Masjid 400 Tahun di Narathiwat, Thailand.

Keesokan harinya, konvoi menuju ke sempadan di Rantau Panjang bagi menyelesaikan urusan Kastam dan mendapatkan permit masuk ke Thailand. 

Segala persiapan seperti pembelian insurans telah dilakukan lebih awal bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.

Destinasi pertama di Thailand adalah pekan Golok, diikuti dengan lawatan ke Masjid 400 Tahun di Narathiwat dan Masjid Kerisik di Pattani sebelum konvoi pergi ke hotel.

Hari berikutnya, konvoi berhenti di Yala untuk menikmati makan tengah hari di Santai Budaya sebelum singgah di sebuah gua yang mempunyai air terjun. 

Perjalanan konvoi diteruskan ke Betong melalui laluan mencabar dikenali sebagai Hundred Corner sebelum tiba di pekan Betong untuk aktiviti bebas.

Rombongan bertolak pulang ke Malaysia melalui Pengkalan Hulu, Perak, sebelum berpecah di Hulu Bernam, Selangor.

SEBAHAGIAN peserta konvoi bergambar kenangan di depan Masjid Kerisik.

Mengulas berkenaan cabaran, Mohd. Nor berkata, pengalaman mereka melalui sekatan tentera sungguh mendebarkan kerana ketika itu berlaku insiden tembakan di Golok.

“Pertama kali saya melalui kawasan itu perasaan bimbang memang ada kerana banyak sekatan jalan raya oleh pihak tentera. Namun, saya beritahu peserta konvoi agar tidak risau kerana sekiranya keadaan berbahaya, kerajaan mereka tidak akan membenarkan kami masuk,” katanya.

Dia turut menekankan bahawa aktiviti konvoi di Thailand memerlukan perancangan awal bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini.

Sebagai contoh, pembelian insurans penuh adalah penting bagi memberi perlindungan sekiranya berlaku kemalangan.

Selain itu, keadaan lalu lintas yang tidak menentu turut menjadi cabaran dengan sikap pemandu tempatan yang sering membuat pusingan U tanpa isyarat.

Dia juga menasihati  para peserta supaya mengelak menunggang pada waktu malam dan perlu tiba di hotel sebelum pukul 6 petang.

“Ini kerana, konvoi dengan jumlah motosikal yang besar berisiko terlibat dalam kemalangan dan dendanya boleh mencecah ribuan ringgit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN