DALAM era digital yang berkembang pesat, media sosial bukan sahaja menjadi platform komunikasi tetapi juga sumber pendapatan bagi golongan tertentu.
Fenomena influencer, atau individu yang mempunyai pengaruh besar di media sosial, telah menarik perhatian ramai, terutamanya golongan muda.
Namun, di sebalik populariti yang meningkat, fenomena ini turut menimbulkan kebimbangan berkaitan keciciran pelajar.
Ramai pelajar kini terpengaruh dengan gaya hidup influencer sehingga mengabaikan kepentingan pendidikan.
Antara faktor utama yang menyebabkan keciciran pelajar ialah daya tarikan gaya hidup yang dipaparkan oleh influencer.
Ramai influencer di media sosial menunjukkan kehidupan yang serba mewah, termasuk percutian eksklusif, pakaian berjenama, dan pendapatan lumayan hasil daripada kandungan yang mereka hasilkan.
Pelajar yang melihat kejayaan ini mungkin mula merasakan bahawa pendidikan formal tidak lagi relevan lalu terdorong untuk meninggalkan pelajaran bagi mengejar impian menjadi influencer.
Menurut Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Mohd. Khairi Ismail, kisah kejayaan influencer yang pernah tercicir daripada sekolah atau universiti juga sering menjadi inspirasi kepada pelajar.
“Terdapat ramai personaliti media sosial yang berkongsi perjalanan mereka keluar dari sistem pendidikan dan akhirnya berjaya dalam industri hiburan atau perniagaan.
“Walaupun kisah-kisah ini memberi inspirasi, ia juga memberi tanggapan yang salah bahawa keciciran bukanlah masalah besar, malah boleh membawa kejayaan,” katanya.
Secara keseluruhannya, fenomena influencer di media sosial memberi kesan besar terhadap pelajar, sama ada secara positif mahupun negatif.
Realitinya, kejayaan tanpa pendidikan hanya dapat dicapai oleh segelintir individu yang mempunyai keunikan tertentu, sementara majoriti mereka yang tercicir mungkin berdepan dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan.
Mohd. Khairi turut berpendapat pihak sekolah memainkan peranan penting dalam menangani isu keciciran pelajar akibat pengaruh influencer.
“Mereka perlu memberi kesedaran kepada pelajar mengenai realiti dunia influencer dan cabaran yang dihadapi dalam industri ini.
“Pendidikan digital harus diperkenalkan bagi membantu pelajar memahami perbezaan antara dunia maya dan realiti sebenar,” katanya.
Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memantau aktiviti media sosial anak-anak dan memberi bimbingan mengenai kepentingan pendidikan.
Beliau juga menekankan bahawa kerajaan dan badan berwajib boleh mengambil inisiatif untuk mengawal kandungan yang boleh memberi impak negatif.
“Polisi tertentu boleh diperkenalkan untuk memastikan bahawa influencer yang mempunyai pengaruh besar mematuhi garis panduan yang tidak menggalakkan keciciran pelajar.
“Selain itu, kempen kesedaran boleh dijalankan bagi menekankan kepentingan pendidikan dan memperkenalkan kisah kejayaan individu yang mencapai kejayaan melalui akademik,” katanya.














