RANTAU PANJANG – Tiga letupan yang berlaku di beberapa lokasi di pekan Sungai Golok, Thailand kelmarin hingga mengakibatkan dua sukarelawan pertahanan terbunuh dan 11 lagi cedera, turut menggegarkan kediaman penduduk berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di sini.
Gegaran disusuli bunyi tembakan berdas-das itu dirasai pada pukul 8.20 malam waktu Malaysia selepas penduduk baru selesai berbuka puasa.
Seorang penduduk, Rohana Mat Min, 50, berkata, dia mendengar tiga letupan bom dan bunyi tembakan tidak henti-henti selama beberapa minit selepas pulang daripada menghantar ibu saudaranya ke stesen bas.
“Ini bukan kali pertama dan kami sudah lali dengan situasi. Panik juga bila dengar, namun lega tembakan tidak tersasar ke sini.
“Cuma kejadian malam tadi (semalam) agak besar berbanding sebelum ini kerana letupan bom tiga kali. Ia kejadian pertama tahun ini selepas yang terakhir berlaku pada April lalu,” katanya ketika ditemui di pangkalan haram Pohon Jambu di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Zakaria Lazim, 60, berkata, suasana di kawasan Sungai Golok di sebelah Thailand sunyi sepi sejak insiden itu berlaku.
“Tiada aktiviti menyeludup di pangkalan haram selepas kejadian itu. Kami nampak kejadian itu kerana jarak hanya beberapa meter dari Sungai Golok. Tiada penduduk Thailand yang keluar rumah atau menunggang motosikal selepas kejadian,” katanya.
Dalam pada itu akhbar Bangkok Post melaporkan, insiden itu didalangi oleh sekumpulan penyerang berpakaian serba hitam dengan melempar bom dan melepaskan tembakan ke arah pejabat.
Mereka menaiki sebuah trak pikap dan berhenti di luar pejabat pada pukul 7.10 malam lalu menyerang anggota sukarelawan keselamatan yang bertugas sebelum melarikan diri. Mereka turut meletupkan bahan letupan yang diletakkan dalam kereta dan motosikal di luar pejabat itu.
Pejabat Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Isoc) berkata, beberapa objek mencurigakan dipercayai bahan letupan dilempar di atas jalan ketika trak pikap itu dipandu, sekali gus menghalang ia daripada dikejar.
“Dua sukarelawan pertahanan terbunuh dan sekurang-kurangnya 11 orang lagi cedera dengan tiga daripadanya orang awam.
“Dua lagi bom meletup berhampiran landasan kereta api selatan dan pusat beli-belah Big C. Penduduk dinasihatkan supaya kekal di dalam rumah pada waktu malam,” kata Isoc.
Sementara itu, di tempat lain di Narathiwat, sebutir bom merosakkan tiang elektrik di daerah Sungai Padi pada pukul 7.52 malam (waktu tempatan).
Sebutir bom lagi ditemui tetapi tidak meletup di sebatang tiang elektrik di Ban Tahi Badoh, daerah Waeng kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) semalam.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam dua kejadian itu.
Komander tentera, Mejar Jeneral Paisan Noosang mengarahkan semua unit keselamatan memburu pihak yang bertanggungjawab.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah diarahkan untuk meningkatkan kawalan di sempadan 24 jam.
“Kita tidak mahu penjenayah itu bolos ke Malaysia. Briged Tenggara dan polis Kelantan akan memantau keadaan di wilayah Narathiwat dan kawalan ketat serta-merta sehingga situasi selamat,” katanya.
Setakat ini, tiada laporan mengatakan rakyat Malaysia yang cedera atau sedang mendapatkan rawatan susulan serangan tersebut. -KOSMO! ONLINE














