fbpx
NVX Player bersama Top Speed Fighter dan 7 Days Fighter bergambar kenangan dengan sekumpulan anak yatim di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Berkonvoi santuni anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMINAT aktiviti bermotosikal  pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk beriadah sambil beramal seperti menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.

Peluang sedemikian bukan sahaja merapatkan ukhuwah sesama insan, tetapi juga sebagai medium memberi sedikit kegembiraan dengan menghulurkan sumbangan ikhlas.

Sehubungan itu, kumpulan motosikal NVX Player dari Kemaman, Terengganu selaku penganjur bersama dua lagi kelab motosikal iaitu Top Speed Fighter dan 7 Days Fighter beriadah sambil menyantuni sekumpulan anak yatim di sebuah rumah anak yatim di daerah itu.

Berkongsi dengan CitaRasa, seorang ahli NVX Player, Muhd. Afiq Zaharudin, 29, memberitahu, dia seronok apabila dapat mengumpulkan dana bagi membeli barangan keperluan untuk diserahkan kepada 27 orang penerima.

“Pada mulanya, inisiatif itu dimulakan oleh saya bersama seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Zul. Biarpun tidak mempunyai dana yang besar, kami tetap mahu menghulurkan sumbangan seadanya buat anak-anak yatim di sebuah rumah anak yatim di sini.

“Namun, selepas membuat perkongsian mengenai aktiviti itu, rakan-rakan yang lain turut berminat untuk menghulurkan sumbangan.

“Kami berjaya mengumpulkan sekitar RM10,000 dan dana tersebut digunakan untuk membeli beberapa keperluan asas seperti makanan dan pakaian berupa jubah, tudung dan juga kopiah,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

DANA sumbangan digunakan untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

Tambah jejaka yang mesra disapa sebagai Afiq itu lagi, ada satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila dapat menganjurkan sendiri acara konvoi amal itu.

“Kalau diikutkan, sebelum ini kami berdua sudah kerap mengikuti acara konvoi sebegini seperti berbuka puasa bersama anak yatim dan juga menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU), namun kesemuanya adalah anjuran pihak lain dan kami sebagai peserta sahaja.

“Namun, kali ini perasaannya berbeza apabila kami sendiri berjaya mengumpulkan rakan-rakan yang lain dan dapat menyantuni golongan kurang bernasib baik dengan menggunakan wang hasil titik peluh kami sendiri.

“Gugur air mata jantan saya dan rakan-rakan apabila melihat nasib anak-anak ini yang sangat menyentuh hati kami,” katanya.

SERAMAI 27 orang anak yatim diraikan dalam acara amal melibatkan tiga kelab motosikal.

Berkongsi tentang aktiviti konvoi amal di bulan Ramadan, Afiq memberitahu bahawa ia tidak akan dilaksanakan, bagi memberi peluang kepada anak-anak yatim tersebut untuk menjalani ibadah puasa seperti biasa.

“Kami ada perancangan untuk menyantuni mereka di bulan mulia ini, namun selepas membuat perbincangan bersama ahli-ahli yang lain, kami bimbang sekiranya kunjungan kami itu akan mengganggu jadual harian mereka.

“Hal ini kerana saya difahamkan sepanjang bulan Ramadan, anak-anak yatim ini sibuk dengan pelbagai program seperti solat tarawih dan sebagainya,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN