fbpx
Sam Jeneeca (kanan) membeli kuih yang dijual di Bazar Ramadan Kompleks Perdana MDGM, Gua Musang kelmarin. – AIMUNI TUAN LAH

Orang Asli, Iban meriahkan bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Bazar Ramadan yang sinonim dengan suasana meriah jualan pelbagai juadah menarik dan lazat dilihat menjadi simbol keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Tinjauan Kosmo! di Bazar Ramadan Kompleks Perdana ­Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini mendapati menerima sam­butan menggalakkan daripada pelbagai kaum seperti Orang Asli, Cina, India dan juga Iban.

Seorang wanita keturunan Orang Asli suku Jakun, Sam Jeneeca Sam Chih Long, 31, berkata, setiap kali bulan puasa, bazar Ramadan menjadi pilihannya bukan sahaja untuk mencari pelbagai jenis juadah, malahan sebagai tempat berinteraksi dengan pelbagai kaum.

Ini katanya, memberi gambaran individu bukan Islam se­perti dirinya tetap dilayan sama rata biarpun tidak berpuasa.

“Walaupun terdapat perbezaan kaum dan agama, pengunjung atau masyarakat di sini kelihatan sangat harmoni, bersatu-padu dan mesra antara satu sama lain apabila melakukan urusan jual beli.

“Ini adalah satu lambang pe­nyatuan atau muhibah pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Seorang pengunjung kaum Iban, Alvin Fernandez Jeti Anak Has, 29, pula berkata, bazar ­Ramadan menjadi tempat dia bertukar-tukar cerita dengan kaum lain terutama yang beragama Islam.

Katanya, suasana bazar Ramadan ini selalu meriah dikunjungi masyarakat pelbagai kaum yang turut sama membeli juadah yang enak.

“Situasi sama juga dapat dilihat di tempat asal saya Kota Samarahan, Sarawak setiap kali menjelang Ramadan.

“Di mana-mana pun saya lihat bazar Ramadan menjadi ­penghubung ikatan sesama rak­yat Malaysia pelbagai keturunan. Jadi, suasana di situ menjadi meriah alam suasana muhibah,” katanya.

Seorang pengunjung daripada kaum Cina, Yong Wai Shyuan, 54, berkata, walaupun dia bukan orang Melayu, tetapi menggemari kuih-muih dan lauk-pauk yang disediakan oleh kaum ber­kenaan.

“Inilah indahnya Malaysia, semua hidup dalam keadaan rukun dan damai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN