GEORGE TOWN – Pulau Pinang melakar sejarah baharu dalam bidang pendidikan dengan pelancaran rasmi tiga institusi akademik global iaitu Pejabat Institut Boya Pulau Pinang, Akademi Teknologi Asia Phoenix (Phoenix Asia) dan Metaverse Universal College (MVUC).
Majlis perasmian tiga institusi akademik itu disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam satu majlis di Kampus Convent Pulau Tikus (CPT), di sini hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembukaan institusi tersebut menandakan langkah besar ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pendidikan global, sejajar dengan visi Penang2030 yang menekankan pembangunan bakat dan inovasi teknologi.
“Pulau Pinang bukan sekadar pusat perindustrian dan pelancongan, malah kini muncul sebagai pemain utama dalam bidang pendidikan antarabangsa.
“Jika kita tidak merancang lebih awal dan memupuk bakat, kita berisiko ketinggalan. Namun, dengan adanya institusi seperti Metaverse Universal College, kita memastikan rakyat Pulau Pinang berada di barisan hadapan dalam era baharu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan tiga institusi akademik di sini hari ini.
Untuk rekod, penubuhan Pejabat Institut Boya Pulau Pinang mencipta sejarah tersendiri kerana ia merupakan kali pertama sistem pendidikan Boya dari China berkembang ke luar negara. – KOSMO! ONLINE














