PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan syarat mengerjakan umrah dalam pemilihan jemaah haji Malaysia pada tahun ini.
Mengikut syarat umrah yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, hanya jemaah yang berumur bawah 50 tahun dan sihat tubuh badan dibenarkan mengerjakan ibadah tersebut pada musim Covid-19 ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, bagaimanapun perkara itu masih belum diputuskan dan ia bergantung kepada syarat-syarat yang dikeluarkan Arab Saudi selepas ini.
“Contoh syarat umrah sebelum ini dari segi umur mereka (bakal jemaah) perlulah berusia 50 tahun ke bawah. Turut diambil kira aspek kesihatan, syarat ini berbeza dengan musim ibadah haji musim Covid-19.
“Namun, mengenai bilangan jemaah yang dibenarkan, siapa yang layak untuk mengerjakan ibadah itu, kita masih belum tahu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Pada tahun lalu, seramai 31,600 jemaah haji menerima surat tawaran, tetapi tidak dapat mengerjakan rukun Islam kelima itu disebabkan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira tiga juta pendeposit yang berdaftar untuk menunaikan haji.
Disebabkan itu, Nik Mohd. Hasyudeen berkata, giliran untuk menunaikan haji sehingga kini boleh mencecah sehingga 100 tahun.
“Jumlah kuota tahunan adalah kira-kira 31,600 orang ketika ini, namun kita cuba merayu untuk menambahkan bilangan setiap tahun. Saya difahamkan Arab Saudi juga sedang menaik taraf kemudahan bagi menampung lima juta jemaah pada 2030.
“Selain itu, setiap tahun juga kita menerima kira-kira 100,000 rayuan haji dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang merayu untuk menunaikan ibadah bersama mahram, asnaf dan orang baharu (mualaf),” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nik Mohd. Hasyudeen berkata, kos menunaikan haji bagi jemaah Muassasah dijangka kekal walaupun kos semasa meningkat.
Ketika ini, kos semasa mengerjakan ibadah haji dianggarkan hampir RM24,000, namun TH mengenakan bayaran RM9,980 untuk seorang jemaah haji Muassasah.
“Kos ini (RM9,980) masih kekal sejak dahulu (2009), tidak naik sehingga ke hari ini meskipun kos sebenar meningkat pada saban tahun dan sehingga kini dianggarkan berjumlah RM24,000.
“Jemaah haji hanya membayar RM9,980 dan kos lebihan itu (RM14,000) ditanggung oleh TH melalui keuntungan pelaburan,” ujarnya.
Tambah Nik Mohd. Hasyudeen, berdasarkan keadaan semasa penularan Covid-19, kos mengerjakan haji dijangka meningkat, namun pihaknya tidak bercadang untuk menaikkan kadar tersebut dalam tempoh terdekat.
“Kos memang semakin naik, mesti ada syarat tambahan pada musim Covid-19 ini seperti penginapan.
“Syaratnya mungkin berbeza misalnya jemaah tidak dibenarkan tinggal ramai dalam satu bilik.
“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan selepas ini. Berdasarkan situasi semasa tiada pertambahan kos (haji) bagi pendeposit, bagi TH kos akan bertambah. Kita sedia menanggungnya,” kata beliau.














