SIAPA sangka hasil bidikan gambar indah dan mempunyai sentuhan kreativiti tersendiri itu dirakam oleh seorang jurugambar yang menghidapi masalah buta warna.
Azwan Ali Ahmad Zainal Latifi, 28, telah memulakan kerjaya sebagai jurugambar sejak tahun 2018.
Azwan Ali mula menyedari masalah buta warna itu ketika dia berusia 18 tahun apabila perlu menjalani ujian warna sebagai syarat memohon lesen memandu.
Alangkah terkejutnya apabila keputusan ujian warna itu menunjukkan semua jawapan yang dijawab oleh Azwan adalah salah.
Sejak peristiwa itu, dia yang mesra disapa sebagai Azwan baru sedar yang dirinya sebenarnya buta warna dan tidak dapat membezakan sesuatu rona.

Pada awalnya sukar untuk Azwan menerima kenyataan tersebut apatah lagi dia satu-satunya yang mempunyai masalah buta warna dalam keluarga.
Selepas tiga tahun kejadian itu berlalu, barulah dia terbuka hati untuk menjalani semula ujian bagi permohonan lesen memandu.
“Sebelum itu, saya mengambil ujian buta mata dengan doktor pakar dan daripada 25 soalan yang diberikan hanya dua yang betul.
“Doktor mengesahkan saya menghidapi buta warna lalu memberikan surat pengecualian dan syukur lesen memandu itu berjaya diperolehi,” cerita pemuda berasal dari Sitiawan, Perak itu kepada K2.
Masalah buta warna yang dialami oleh Azwan adalah kesukaran untuk membezakan sesuatu rona atau warna.
Paling ketara ialah warna hijau, merah, biru, ungu, kelabu dan merah jambu.
Sebagai contoh, dia akan melihat hijau sebagai merah dan merah pula sebagai hijau.
Begitu juga bagi warna merah jambu akan dilihat sebagai kelabu dan rona kelabu pula sebagai merah jambu.

Namun, setakat ini dia tidak pernah mengalami sebarang kejadian buruk kerana warna lampu isyarat trafik sangat terang.
Tetapi paling sukar bagi dirinya apabila ingin membezakan lampu isyarat di tol kerana ia lebih kecil dan tidak terlalu terang.
Sehubungan itu, dia akan meminta bantuan rakan untuk menemaninya sekiranya perlu melalui jalan yang mempunyai tol.
Walaupun buta warna, ia sedikitpun tidak menghalang minat Azwan dalam bidang fotografi, malah menjadikan kekurangan itu sebagai kekuatan untuk berjaya.
Dia menjadikan bidang fotografi sebagai kerjaya sepenuh masanya di sebuah agensi kreatif dan pada masa sama Azwan juga merupakan jurugambar bebas.
“Saya merupakan pengasas kepada ColorBlind Studio yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.
“Syarikat ini digerakkan oleh saya bersama empat lagi rakan yang sangat meminati bidang fotografi dan tiga daripada kami mengalami masalah buta warna,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Menerusi Syarikat ColorBlind Studio itu, Azwan Ali dan rakan-rakannya menawarkan pelbagai perkhidmatan fotografi meliputi acara perkahwinan, pertunangan, akad nikah, majlis korporat dan merakam gambar untuk produk makanan.
Azwan juga terlibat dengan penggambaran destinasi menarik di seluruh negara bersama majalah pelancongan tempatan.

Bercerita lanjut mengenai pembabitan awal dalam bidang fotografi, Azwan memberitahu, dia aktif merakam foto sejak di sekolah menengah.
Azwan belajar secara tidak langsung daripada seorang sahabatnya yang mengikuti kelab fotografi di sekolah mereka.
Sejak detik itu, dia mula jatuh cinta dengan bidang fotografi dan mempelajari sendiri pelbagai teknik antaranya menerusi tutorial di Youtube.
“Dek kerana minat tersebut, pihak sekolah telah melantik saya untuk merakam gambar pelbagai acara yang berlangsung.
“Abah (bapa) juga menyedari yang saya meminati bidang fotografi lantas sebagai tanda sokongan dia membelikan sebuah kamera digital,” ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.
Tambahnya, dia sangat meminati bidang fotografi kerana sangat terpegun dengan keindahan gambar-gambar yang dirakam menggunakan kamera.

Kerjaya sebagai jurugambar bermula ketika dia melanjutkan pengajian di universiti. Ketika itu juga Azwan memegang peranan sebagai Ketua Media dan Publisiti untuk Kelab Interpersonal yang memerlukannya merakam pelbagai jenis gambar.
“Kebetulan pula pada ketika itu seorang rakan sekuliah meminta saya merakam gambar pertunangannya.
“Saya merakam gambar pertunangan itu menggunakan kamera yang dipinjam daripada seorang rakan dan tidak menyangka mereka sangat menyukai gambar tersebut,” katanya yang gemarkan konsep minimalis, bersih dan tidak serabut.
Walaupun pada ketika itu dia hanya menyunting gambar menggunakan telefon pintar ekoran komputer ribanya dicuri tetapi hasilnya sangat menarik.
Azwan memberitahu, bagi orang yang buta warna sepertinya, menyunting gambar adalah cabaran terbesar kerana perlu bermain dengan warna.
Justeru, dia akan meminta bantuan daripada rakan-rakan untuk melihat kembali hasil suntingan gambar tersebut agar warna itu terhasil sempurna.
Rentetan daripada gambar pertunangan itu, Azwan menerima banyak permintaan daripada kawan-kawan untuk merakam hari bahagia mereka.
Hasil duit yang diterima daripada pekerjaan itu, dia telah membeli kamera pertama DSLR sendiri selain peralatan lengkap untuk merakam gambar pelanggannya.
Tidak dinafikan ada juga yang ragu-ragu dengan kebolehan Azwan merakam dan menyunting gambar kerana masalah buta warna yang dialaminya tetapi dia tidak pernah mengambil hati.
“Saya pernah tersilap menyunting gambar baju ketika sesi penggambaran untuk produk pakaian yang datang dalam pelbagai rona sehingga berlaku kekeliruan.
“Kejadian tersebut tidak mematahkan semangat, malah menjadikan saya lebih berhati-hati,” ulasnya.
Sementara itu, Azwan pernah melalui detik sukar sebagai jurugambar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lalu.
“Saya banyak bergantung kepada majlis perkahwinan kerana bayarannya agak lumayan dan paling tinggi pernah diterima ialah RM3,500.
“Namun, kesan PKP itu menyebabkan saya tidak menerima sebarang tempahan fotografi selama lima bulan, malah gaji di tempat kerja juga dipotong sehingga hampir putus asa dan ingin pulang ke kampung,” ujarnya yang juga merupakan pemegang Diploma Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak.
Ketika PKP pada bulan puasa dan rakyat Malaysia pula aktif memasak, lantas memberi idea kepada Azwan dan pasukannya di ColorBlind Studio untuk mengambil upah merakam gambar produk makanan.
Percubaan mereka membuahkan hasil apabila menerima banyak permintaan dan paling menarik turut menerima tawaran sebanyak dua kali daripada syarikat gergasi, Nestle untuk merakam serta membuat video bagi produk KitKat.
Ternyata bukan mudah untuk berjaya dalam bidang fotografi kerana perlu menghadapi pelbagai cabaran.
Salah satunya ialah persaingan dengan jurugambar lain.
Oleh itu, Azwan menitipkan pesanan kepada anak muda yang ingin menceburkan diri ke dalam bidang fotografi agar jangan mudah berputus asa, menambah kemahiran dari semasa ke semasa, percaya kepada rezeki dan terus berkarya kerana lambat-laun orang akan kenal serta mencari kita.
Besar harapan dan cita-cita Azwan agar pada masa akan datang dirinya dapat bergelar jurugambar dokumentari antarabangsa National Geographic.














