fbpx
Induk toman bersaiz ‘kasar’ pertama saya sejak mengilat di tasik ini.

‘Membidik’ toman Tasik Chinchin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kami bermula awal pagi di jeti, setelah siap menyusun rapi peralatan memancing ke dalam bot, maka bermulalah misi kami mencari ‘lesen’ toman di Tasik Chinchin.

Sebaik sahaja bot meluncur keluar dari jeti, masing-masing mempertajamkan mata memerhati kawanan anak ikan toman.

Bidik toman jalur
Babak pertama sebagai pemanas badan, kami mula ‘mengacau’ anak-anak toman yang masih berjalur lagi corak di badannya dengan harapan ada lagi si ibu yang menjaganya.

Malangnya, kumpulan anak ini sudah pun ‘yatim piatu’.

Namun, dalam peringkat masih berjalur ini, ia telah mula menunjukkan sifat pemangsanya yang agresif. Pendek kata, mudah ‘berlesen’ melalui anak toman ini kerana ia senang diperdaya dengan gewang.

Di kala giat mengejar anak toman timbul tenggelam dari tepi tasik, secara tiba-tiba ia menghilang dan menimbul jauh di tengah tasik.
Tidak semena-mena, berlaku beberapa hamburan di permukaan air angkara kawanan ikan patin, patutlah anak-anak toman itu lari.

Kejutan padu
Saya tidak berputus asa dan terus menyasar­kan gewang ke arah kawanan anak toman, walaupun ia semakin menjauh.

Melontar serta mengarau gewang secara karau dan sentap, sebelum dibiar seketika beberapa saat sambil mata meliar mencari jika ada kawanan anak toman lain yang muncul.

Sedang leka mengilat, tiba-tiba satu hentaman padu dirasai di hujung joran Abu Garcia Red Boron 8-17 paun (lbs).

Mujur sistem tegangan (drag) kekili menegak berprofil rendah (low profile baitcaster) Shimano Curado DC 150HG sudah diselaras terlebih dahulu sebelum menaiki bot membolehkan saya sempat mengukuhkan kuda-kuda untuk terus bertahan.

Gewang selaman dalam Ofmer X-Deep 75F dirembat ikan, tali utama dan pe­rambut 30lb mengalir laju keluar. Tarikan padu ikan ke arah dasar membuatkan pergelangan tangan saya rasa bergetar untuk menahan asakannya.

Pali membidik toman bujang ini menggunakan joran Eupro Mastermind 10-20lb, dipadankan kekili Shimano Tranx 201HG dengan gewang Starlit crank luminous lip 21 gram berwarna putih.

Apabila berpeluang membuat beberapa kali rentapan dan berasa yakin mata tiga sudah tertancap kukuh di rahang ikan, karauan laju dilakukan agar tali cepat masuk ke dalam gelendung kekili (reel spool) untuk merapatkan jurang antara ikan dengan bot.

Setelah beberapa minit menahan asakan, muncul kelibat toman bersaiz kasar. Namun, ia membenam semula setelah timbul ke permukaan air sambil menggoyang-goyangkan kepalanya untuk meloloskan diri dari tancapan mata tiga.

Kekangan joran dikekalkan supaya ikan tidak terus menuju masuk ke bangkar kayu. Lebih teruk, jika ia menghala ke arah jaring tinggal di dalam tasik. Jika tidak dihalang gewang akan tersangkut dan ikan pasti akan terlepas.

Hasil bertahan membuatkan ikan mengalah dan berjaya dihela hingga ke tepi bot. Pali dengan tangkas membantu menaikkan ikan, lantas merealisasikan hasrat saya untuk mendapatkan ikan toman bersaiz kasar.

Trip susulan
Beberapa minggu kemudian, Rizal memberitahu, terdapat banyak kawanan anak ikan toman menimbul, maka kami bertiga kembali semula untuk mengilat.

Tidak dinafikan selepas musim berangin sememangnya terdapat banyak kawanan anak ikan toman yang baharu dan toman bujang juga sering menunjukkan kelibatnya.

Berita kawanan anak-anak toman ini juga tersebar dalam kalangan pemancing sekitar, lantas membuatkan tasik ini sudah dipenuhi pemancing ketika trip susulan saya.

Mungkin suasana ramai peman­cing ini membuatkan saya hanya berjaya menewaskan toman masih berjalur dan seekor induk pada waktu pagi.

Waktu tengah hari, cuaca sudah mula berangin membuatkan permukaan air tasik beralun, jadi tiba masanya kami berehat seketika dan mengalas perut. Sesi mengilat bersambung semula sekitar pukul 2 petang.

Hampir satu jam masa berlalu, lokasi bertukar lagi, gewang dilontar jauh oleh Pali sebelum berjaya membidik seekor toman bujang sewaktu ikan itu menimbul untuk mengambil udara.

Pada waktu sama, saya dan Rizal lebih tertumpu pada kumpulan anak merah toman yang dijejak sejak sesi petang bermula.

Sudah masuk lewat petang, kami telah pun berpindah ke beberapa lokasi bermula dari pulau ‘pokok rasau’ di hujung tasik hinggalah ke jambatan bertiangkan batang pinang, namun tiada hasil.

Kemudian, kami beralih semula ke kawanan anak merah yang awal tadi. Kami terus cuba ‘memujuk’ induk itu tanpa ada rasa berputus asa dengan melontar pelbagai jenis gewang dengan harapan agar ia akan terjerat.

Beberapa kali percubaan dengan gewang selaman tiga meter, akhirnya ia dibaham induk toman, malangnya ia rabut apabila menghampiri bot.

Ini membuatkan kami bersemangat untuk mencuba dengan lebih gigih lagi.

Alhamdulillah, akhirnya nasib baik mula menyebelahi saya kerana gewang yang sama tadi disergap sekali lagi oleh ikan. Ia dilayan dengan lebih berhati-hati sehinggalah ia lemah dan dapat disauk oleh Pali.

Tangkap, gambar dan lepas
Semua toman dalam trip kami di sini dilepaskan semula cepat-cepat berdekatan dengan kawanan anak-anaknya.

Ini bagi mengelakkan anak-anak toman tadi dilahap oleh ikan pemangsa lain jika induknya tidak ada di sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN