KOTA KINABALU – Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji mengesahkan penemuan mayat wanita di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Bandaran Berjaya Selasa minggu lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Habibi berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun yang mempunyai 13 rekod jenayah membabitkan pelbagai kes sejak lapan tahun lalu turut ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, wanita terbabit dikenali dengan nama Kelly dan dipercayai berusia lingkungan 30-an.
Tambahnya, wanita berkenaan juga dipercayai warga asing namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti identiti sebenar mangsa.
“Hasil siasatan, wanita terbabit sering dilihat berkeliaran bersama suspek sambil menghidu gam.
“Bagaimanapun, ada saksi yang mendakwa terdengar mangsa bertengkar dengan seseorang sebelum ditemui mati,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Habibi memaklumkan bertindak atas semua maklumat diperoleh, suspek berjaya ditahan pada pukul 7.30 malam Jumaat minggu lalu di Jalan Maktab Gaya.
Sementara itu, Habibi berkata, soal siasat awal menunjukkan suspek mengaku mengenali mangsa sejak enam bulan lalu dan ada menumbuk mangsa beberapa kali ketika bertengkar di atas bukit tempat tinggal mangsa.
“Motif kejadian dipercayai akibat suspek cemburu ke atas mangsa selepas dilihat berjalan dengan lelaki lain sebelum kejadian berlaku.
“Berhubung punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada kepala dan muka akibat senjata tumpul dan pukulan yang kuat.” jelasnya.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, mayat wanita ditemui orang awam kira-kira pukul 7 malam dalam kejadian Selasa minggu lalu berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Bandaran Berjaya. – K! ONLINE














