REMBAU – Seorang lelaki terpaksa tinggal di rumah tinggalan ibunya yang usang bersama isteri dan anaknya berusia tiga tahun di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, di sini, sejak tiga tahun lalu ekoran kesempitan hidup.
Anis Elam, 35, berkata, dia tiada pilihan kerana hanya menoreh getah dengan upah sekitar RM400 sebulan.
“Nak menyewa rumah memang saya tak cukup duit. Saya tidak mampu buat kerja berat. Saraf tangan saya putus akibat kemalangan lebih 15 tahun lalu.
“Dengan pendapatan yang ada, ditambah duit bantuan orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450, rumah uzur ini sahaja tempat kami berlindung,” katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Chembong, di sini semalam.
Menurutnya, rumah mereka juga sering dimasuki air apabila hujan lebat kerana atap bocor, selain papan dinding yang sudah reput serta berlubang dimakan anai-anai.
Kata Anis, isterinya, Norshima Sekil Abdullah, 36, pernah membuat permohonan baik pulih rumah atau digantikan dengan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR),
namun masih belum ada jawapan.
Ketua Bersatu Rembau, Mohd. Nazree Mohd. Yunus yang menziarahi keluarga itu berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kediaman tiga beranak yang uzur daripada
penyelia tempat Norshima bekerja.
“Pada mulanya kami berhasrat untuk baiki bumbung rumah kerana atap bocor, namun setelah dilawati, tiang serta dinding rumah ini sudah pun terlalu uzur.
“Jadi, kami akan berhubung semula dengan agensi kerajaan berkenaan status permohonan bantuan rumah PPR yang dikatakan itu,” katanya.















