Berkayak sambil memancing telah bermula sejak berpuluh tahun dahulu, namun era awalnya tidak ramai yang berani menceburinya. Mungkin faktor harga dan stok kayak yang bersesuaian masih tidak banyak, selain kurang pemancing yang bersatu dalam satu kumpulan atau kelab.
Namun tahun demi tahun, komuniti kayak fishing ini telah berkembang dengan sangat baik sehingga boleh dikatakan setiap negeri di Malaysia mempunyai kelab atau persatuan mereka sendiri.
Pasca pandemik merupakan satu titik perubahan kepada segmen kayak fishing di negara kita. Berikutan sekatan rentas sempadan yang berlaku ketika itu, ramai peminat kayak fishing ini mula beralih kepada memancing di lokasi air tawar.
Lombong, tasik dan sungai menjadi tempat mereka melepas gian dan menduga pelbagai spesies ikan baharu. Ini membuatkan segmen memancing dengan kayak menjadi lebih luas.
Memancing dari
perspektif ‘kayaker’
Memancing dan berkayak dalam satu masa merupakan satu sukan yang mencabar kerana ia memerlukan daya tahan fizikal. Saya merupakan seorang yang meminati sukan lasak dan ini merupakan dua aktiviti yang saya boleh buat dalam satu masa.
Bila saya mula berkayak, saya rasa tiada sebab untuk saya berhenti kerana keseronokan mengatasi segalanya. Antaranya, bila berkayak anda akan lebih cenderung untuk memerhati alam sekeliling disebabkan perjalanan berkayak lebih perlahan daripada bot. Waktu ini adalah masa yang sesuai untuk saya healing.

Kemahiran hidup juga sangat penting dalam berkayak, banyak aspek terutamanya keselamatan memainkan peranan penting. Bukan sekadar memakai jaket keselamatan, perancangan dari segi masa, makanan, cuaca dan lain-lain turut diambil kira.
Bagi kawasan yang mempunyai air pasang dan surut, ini merupakan salah satu perkara yang perlu diambil tahu bila berkayak. Peti pertolongan cemas juga antara benda wajib kami bawa semasa melakukan aktiviti ini.
Pernah suatu ketika, kayak yang saya gunakan terbalik kerana kecuaian diri sendiri, namun bila saya sudah bersedia untuk apa juga kemungkinan yang akan berlaku, tiada kecederaan serius atau kerugian besar berlaku.
Dari kayak angin ke pertandingan antarabangsa
Penglibatan saya dalam sukan ini bermula dengan kayak angin pinjaman seorang sahabat. Kayak tersebut hanyalah menggunakan pendayung dan bukanlah direka untuk memancing. Namun kerana minat yang sangat mendalam, semuanya bukan alasan kepada saya untuk memancing.
Tercetusnya minat mendalam terhadap kayak fishing bermula apabila saya mengenali kawan-kawan daripada Port Dickson Kayak Fishing Club (PDKFC). Pada masa itu, kami bersama-sama mencari padang pancing baharu untuk mencari ikan air tawar di sekitar Lembah Klang.
Saya mula menyertai banyak pertandingan memancing berkayak dan ini membuatkan saya menjelajah ke seluruh Malaysia. Antara pertandingan yang pernah saya sertai adalah beberapa siri International Monsoon Casting
Tournament (IMCT) dan International Temenggor Tournament (ITT).
Dalam pertandingan yang saya sertai, hadiah bukanlah tujuan utama. Sebaliknya, ingin melihat kayak fishing lebih berkembang dan sentiasa disertai pemancing baharu.
Kelebihan mengatasi kekurangan
Selalunya, pemancing akan membuat perbandingan antara memancing dengan menggunakan bot dan kayak. Secara relatifnya, kedua-dua segmen ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Bagi saya yang menggunakan kayak, mungkin terhad kepada radius memancing lebih kecil.
Namun, kayak boleh meredah kawasan yang sempit dan cetek.
Lapangan mengilat sebegini selalunya menjadi ‘sarang’ kepada ikan pemangsa yang menjadi target. Kawasan yang bereba banat (heavy cover) juga lebih mudah diakses dengan menggunakan kayak.
Selain itu, dengan berkayak saya boleh minimumkan bunyi bising yang terhasil sama ada daripada percikan air atau enjin. Gangguan bunyi yang lebih rendah di kawasan strike zone sedikit sebanyak merubah potensi tangkapan saya. Saya juga akan lebih peka kepada bunyi yang dihasilkan oleh ikan target.
Sebagai seorang pemancing yang kerap turun lapangan, saya memilih berkayak kerana lebih mudah untuk saya akses ke sesuatu tempat.
Kadang-kadang dalam satu hari, saya boleh bertukar lebih daripada dua padang pancing tanpa rasa terbeban. Kayak yang ringan membolehkan saya turun ke air dengan lebih mudah dan cepat.
Dalam masa sama, saya lebih menikmati pengalaman memancing berkayak di sesuatu tempat kerana saya hanya berseorangan di atas kayak. Ini membuatkan saya lebih menghargai setiap masa dan suasana sekeliling.
Dengan itu, saya sedar bahawa perairan negara kita sangat unik dan menarik untuk diterokai.
Lokasi kegemaran
Sepanjang saya memancing menggunakan kayak, saya betul-betul jatuh cinta dengan perairan Sungai Perak. Dikenali sebagai sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia, sungai ini mempunyai 1,001 keunikan dan menyimpan pelbagai spesies ikan yang menjadi target pemancing bukan sahaja Malaysia, malah dari luar negara.
Kawasan jelajahan saya bermula dari Lenggong iaitu Kampung Beng dan Tasik Raban. Kemudian ke Bersia, Royal Belum, Tasik Temenggor dan sebagainya.
Di antara semua tempat yang saya pernah berkayak, di sinilah kebanyakan rekod spesies ikan yang saya tangkap secara mengilat dihasilkan seperti toman, haruan, kerandang, sebarau, bujuk, baung dan peacock bass. Saya berharap, sungai ini akan terpelihara supaya generasi akan datang dapat merasa dan melihat sendiri keunikannya.














