TANYALAH siapa pun, sama ada dia seorang Perdana Menteri, penyanyi terhebat Malaysia mahupun bintang bola sepak, mereka akan akui bahawa alam persekolahan adalah zaman yang paling banyak meninggalkan kenangan.
Sekolah adalah tempat di mana kita mengenal kawan. Sekolah juga menjadi ‘rumah’ di mana kita membina seribu kegembiraan dan kekecewaan. Banyak kenangan yang tercipta secara sengaja ataupun tidak.
Bagaimana kita diajar untuk menjadi murid yang berdisiplin. Menghormati sesama rakan dan guru-guru. Di sekolah juga tempat kita bermain, membina dan mencungkil bakat. Ada yang jadi atlet tersohor dan ada yang kini bergelar Yang Berhormat.
Semuanya bermula di sekolah. Kita mengenali setiap sisi guru dengan 1,001 macam gelaran. Guru disiplin paling ditakuti, tetapi hatinya sangat murni. Ada guru Pendidikan Jasmani yang menjadi kesukaan murid-murid. Mereka bersahabat ketika bermain bola di padang.
Anak-anak kita turut mengenal apa itu kantin sekolah. Si mak cik kantin yang bermulut manis dan tenang setiap kali melayan kerenah anak-anak.
Lebih istimewa, sekolah juga meninggalkan memori indah bagi sesetengah pasangan. Mereka bertemu jodoh di bilik darjah. Ada yang ‘bercinta monyet’ ketika beraktiviti dalam persatuan dan ketika hari sukan.
Kenangan berutus surat dan ‘berkirim salam’ sedikit menjentik naluri kita. Betapa kenangan di alam persekolahan sukar luput dari ingatan sampai bila-bila.
Bahkan, setiap daripada kita masih kekal bersahabat sehingga ke hari ini. Lihatlah berapa banyak kumpulan WhatsApp sekolah yang kita ada. Ada kumpulan WhatsApp khas untuk bilik darjah. Ada juga kumpulan WhatsApp yang diwujudkan untuk geng-geng tertentu.
Hakikatnya, suasana alam persekolahan mungkin sudah banyak berubah. Malah, anak-anak kita sedang melalui zaman penuh mencabar untuk mencipta lebih banyak kenangan ketika zaman digital terlalu berkuasa.
Menurut data terkini, dianggarkan lebih 5 juta murid telah memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2025-2026. Ini termasuklah pelajar dari peringkat prasekolah hingga tingkatan lima.
Pada sesi persekolahan tahun ini, seramai 461,116 murid telah mendaftar di tahun satu di seluruh negara.
Sejak dua hari lalu, kita melihat sekolah-sekolah di seluruh negara diserbu ibu bapa yang sibuk mengurus anak terutama yang berada di kelas tahun satu.
Keterujaan si ayah berkumis tebal yang terpaksa menurunkan egonya untuk berdiri di tepi pagar melihat gelagat anaknya. Geng mak-mak pula sanggup berkampung di luar sekolah.
Semuanya dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka mahu kita lalui kehidupan sebagai murid yang sayangkan sekolah.
Mungkin juga kita harus titipkan pesan buat anak-anak bahawa sekolah bukan sekadar tempat belajar, tetapi tempat membentuk impian dan harapan.
Seperti mana kata Hamka, ilmu itu didapat dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir. Al-Fatihah buat semua guru-guru yang telah meninggalkan kita buat selama-lamanya.














