GR YARIS 2025 adalah bukti cemerlang kejuruteraan Toyota Gazoo Racing (GR) iaitu kereta kompak yang menggabungkan prestasi litar perlumbaan dan mesra jalan raya.
UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. secara rasmi melancarkan kereta berprestasi GR Yaris versi 2025 pada awal Januari lalu bersempena kemuncak Toyota Gazoo Racing Musim Ke-7.
Setiap elemen GR Yaris direka dengan memfokuskan kepada prestasi dan teknologi penyejukan canggih seperti subradiator dan sistem semburan ‘intercooler’ sekali gus memastikan enjin beroperasi secara optimum walaupun di bawah tekanan yang ekstrem.
Kehebatan teknologi perlumbaan diterjemahkan ke dalam output enjin yang lebih tinggi, disokong oleh sistem suspensi yang dipertingkat untuk kawalan yang mantap dan keupayaan membelok yang agresif.
Jentera ini dikuasakan dengan enjin turbo 1.6 liter 3 silinder G16E-GTS yang menghasilkan 300PS dan 400Nm tork, memastikan setiap perjalanan memberikan pengalaman pemanduan menakjubkan.
Ia dipadankan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four AWD, bersama transmisi manual enam kelajuan, memberikan kawalan yang sempurna hasil inspirasi daripada kejayaan Toyota dalam Kejohanan Rali Dunia.

Bahagian hadapan GR Yaris yang direka semula dengan Functional MATRIX Ver.2 memaksimumkan aliran udara dan penyejukan sambil meningkatkan aspek aerodinamik secara menyeluruh.
Sementara bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan sistem ekzos, diffuser, dan pencahayaan baharu.
Dari segi reka bentuk, GR Yaris 2025 mengutamakan aspek aerodinamik dan rekaan minimalis sporty bagi menghidupkan DNA perlumbaan pada jentera ini.
Sekadar perbandingan, GR Yaris yang sebelum ini dilancarkan pada Disember 2020 hanya ditawarkan dengan kotak gear manual.
Menariknya, GR Yaris versi facelift baharu, walaupun pada masa ini hanya bertransmisi manual, ia bakal turut hadir dengan transmisi automatik lapan kelajuan dipanggil Gazoo Racing Direct Automatic Transmission tidak lama lagi.
Lagi ciri baharu untuk GR Yaris ini ialah Drive Mode Select yang mana stereng kuasa elektronik, pendingin dan janaan enjin berubah mengikut mod iaitu Sport, Normal dan Eco.
Lain-lain perubahan termasuk juga pada bahagian kerangka badan GR Yaris dengan ada pertambahan pengikat badan serta penyerap hentak (dari satu menjadi tiga) yang telah dipertingkat untuk memberikan kestabilan dan maklum balas input stereng.
GR Yaris boleh juga memanfaatkan ‘Circuit Mode’ ketika di litar yang terdiri daripada kawalan antilengahan, pembatalan pengehad kelajuan, output kipas enjin maksimum serta petunjuk penukaran gear.
Di luar, perbezaan paling ketara bagi GR Yaris adalah di bahagian muka, dengan gril di bahagian bawah menampilkan mesh logam yang sangat nipis bagi mengurangkan beratnya, namun masih sangat kuat serta menyerlahkan tulisan ‘GR Four’.

12.3 inci memberikan lebih banyak maklumat dipapar.
Kemasan di bahagian bawah kedua-dua sisi bampar hadapan pula direka agar boleh diasingkan dari bahagian utama, bagi memudahkan sebarang pembaikan atau restorasi dibuat dengan lebih mudah.
Bukaan aliran udara juga direka lebih besar untuk penyejukan yang lebih baik.
Bukaan udara di bahagian bawah bampar belakang pula direka bagi membebaskan aliran udara bawah lantai, membolehkan daya seretan dikurangkan dan haba dari peredam bunyi juga dialir keluar.
Meninjau ke ruangan kabin, GR Yaris facelift menerima paparan instrumen digital penuh dengan skrin berukuran 12.3 inci.
Skrin berkenaan memberikan lebih banyak maklumat seperti suhu ATF bagi model automatik, penunjuk posisi gear dengan amaran tukaran gear serta rekaan susunan meter berbeza mengikut mod pemanduan dan pelbagai lagi.
Rekaan tempat duduk hadapan GR Yaris baharu ini mungkin nampak sama seperti sebelum ini.
Namun, Toyota telah merendahkan posisi duduk sebanyak 25mm, selari dengan kedudukan roda stereng yang juga kini lebih rendah.
Sudut pandangan pada cermin depan juga kini lebih baik kerana kedudukan cermin pandang hadapan di tengah telah dialih lebih ke atas serta konsol tengah telah direndahkan lagi 50mm.
Toyota GR Yaris facelift 2025 kini dijual pada harga RM315,600, atas jalan tidak termasuk insurans.
Kesimpulannya, kereta ini sangat sesuai bagi mereka yang sukakan perlumbaan. GR Yaris mudah untuk dikendalikan kerana beberapa ciri-ciri tawaran pengendalian serta dilengkapi aspek keselamatan Toyota Safety Sense (TSS).
Penulis juga berpendapat tidak banyak pengeluar kereta berani mengeluarkan model seperti ini kerana mereka lebih fokus kepada kenderaan automatik atau elektrik.














