fbpx
PEMPENGARUH dikehendaki membuat ulasan jujur sekali gus tidak memperdaya pengguna. - GAMBAR HIASAN

Ulasan jujur disukai netizen di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini kecoh di media sosial berkenaan dua orang pempengaruh TikTok, yang sama-sama memuat naik kandungan berupa ulasan atau review berkenaan makanan.

Pempengaruh dengan nama CEO Kaki Review meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang lagi pempengaruh terkenal iaitu Jason yang dikata menyebabkan sebuah kedai yang pernah diulas menjadi sunyi sepi dan tiada pelanggan, dek kerana ulasan negatif.

Jason yang mempunyai hampir 500,000 pengikut di TikTok dalam satu video balasan kemudian menyoal individu itu kembali, adakah benar sesebuah kedai itu tiada pelanggan kerana ulasan negatif yang diberikan, atau adakah kerana makanan yang disajikan itu tidak enak?

Jason juga menegaskan sama seperti orang lain, dia adalah pelanggan biasa dan ulasan jujur yang dibuat bukanlah niat untuk menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi hanya pendapat peribadinya terhadap menu yang dicuba.

Tidak terhenti di situ, netizen kemudian membuat perbandingan antara kedua-dua mereka, lalu mendapati kandungan yang dimuat naik CEO Kaki Review semuanya bersifat positif, sekali gus menjadikan ada yang mulai meragui kredibiliti lelaki itu sebagai pencipta kandungan berkenaan makanan.

Ulasan berkenaan makanan, sama ada dalam bentuk video, penulisan atau secara lisan walaupun nampak mudah, ia sebenarnya memerlukan beberapa elemen penting supaya ia nampak informatif, menarik dan berguna untuk penonton atau pembaca.

Justeru, sebagai pengguna, penulis secara peribadinya melihat ulasan jujur berkenaan semua aspek seperti rasa, tekstur dan harga adalah lebih menarik dan diyakini dan dalam kes kedua-dua pempengaruh itu, ulasan jujur seperti yang dibuat Jason juga antara faktor yang menjadikan dia lebih dipercayai.

Mengulas tentang isu itu, pengasas agensi pemasaran digital Content Coach Academy, Samad berkata, ulasan jujur adalah sesuatu yang lebih disukai penonton.

“Selepas CEO Kaki Review membuat ulasan tentang kejujuran Jason, ada yang mulai meragui dan menyokong CEO Kaki Review, dengan menyifatkan ulasan Jason yang terlalu jujur itu bunyinya lebih kasar.

“Pemilik atau pengusaha kedai makan pula semakin mempercayai CEO Kaki Review, memandangkan dia hanya memberikan ulasan positif pada setiap kedai dikunjungi.

“Namun begitu, selepas sebuah kedai yang diberi ulasan positif oleh CEO Kaki Review ternyata jauh berbeza dengan puji-pujian yang diberikannya, di situlah CEO Kaki Review akhirnya ‘terkantoi’ dan kredibilitinya mulai dipersoal.

Pengunjung bukan hanya marahkan restoran, bahkan turut marahkan pengulas, kerana ternyata dia tidak jujur,” kata Samad.

Akibatnya, kredibilitinya hilang, jumlah pengikutnya juga berkurangan. Akhirnya, penonton kembali mempercayai Jason, dan lelaki yang terkenal dengan tagline ‘mahal nak mampuiii’ itu kekal sebagai pengulas paling dipercayai dalam kalangan pengulas makanan lain.

“Jadi, apa yang boleh kita pelajari daripada kisah ini adalah kejujuran mungkin jalan yang lebih sukar, namun untuk jangka masa panjang, ia adalah jalan yang lebih berbaloi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN