MUZIK bukan sekadar hiburan, malah satu bentuk ekspresi diri yang menghubungkan hati dan jiwa.
Bagi seorang pemuda sindrom Down Trisomy, Mohamad Afif Diaz Arbi, 21, muzik menghubungkannya dengan masyarakat umum.
Minatnya mula dicungkil oleh ahli keluarga ketika dia berusia 13 tahun apabila sering berkaraoke bersama ayahnya di ruang tamu kediaman mereka.
Sejak itu, pemuda yang kini berusia 24 tahun tersebut memiliki rutin menyanyi selama dua jam sama ada berkaraoke atau mengikut alunan gitar bapanya.
Menurut ibunya, Marilou C. Diaz atau lebih dikenali sebagai Sharina, anak bongsunya itu suka menyanyikan lagu-lagu trending yang didengari di ruang media.
“Mohamad Afif sememangnya suka menyanyi dan tidak akan melepaskan peluang untuk memegang mikrofon setiap kali muzik dipasang.
“Kalau tidak berduet dengan bapanya, dia akan berkaraoke dengan sepupunya setiap kali mereka bertemu.
“Dia memang minat lagu Ratuku, nyanyian Awie. Dia berharap suatu hari nanti dapat berduet dengan penyanyi era 80-an dan 90-an itu,” katanya kepada K-Remaja.
Bagi kebanyakan orang, kebolehan menyanyi bukanlah perkara luar biasa kerana boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Namun bagi penghidap sindrom Down, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuhi ekoran kekangan fizikal dan mental mereka.
Antaranya adalah kesukaran mengawal nafas semasa menyanyi, sebutan kurang jelas yang boleh mempengaruhi kejelasan lirik lagu, kesukaran mengingati lirik dan mudah tertekan apabila berhadapan orang ramai.
Namun, dengan latihan dan sokongan keluarga, semua cabaran itu dapat diatasi, sekali gus membuktikan kesungguhan pemuda yang mesra disapa Mohamad Afif tersebut melakukan hobinya.
Wanita yang bekerja sebagai pengurus operasi itu mengakui, dia tidak lelah mengajar anaknya memperbetulkan sebutan supaya nyanyian lebih mudah difahami.
Selain itu, dia sentiasa mendorong anaknya untuk membuat persembahan di khalayak ramai agar mudah bergaul dengan masyarakat umum.
Hasilnya, pemuda yang kini berusia 24 tahun itu selalu dijemput buat persembahan di acara-acara anjuran sekolahnya, badan bukan kerajaan (NGO) serta universiti.
Selalunya, persembahan dilakukan sama ada secara solo atau berduet bersama bapanya, Arbi Yahya.
Tambah Sharina , kini Mohamad Afif tidak lagi kekok berhadapan dengan orang ramai kerana cintanya pada bidang nyanyian menambahkan lagi keyakinan anak muda itu.
“Sorakan orang ramai ketika Mohamad Afif menyanyi tidak membuat dirinya rasa gementar, malah lebih membakar semangatnya untuk terus menghibur.
“Dia juga tidak sekadar menyanyi, malah membuat persembahan dengan melakukan lagak dan gaya persis penyanyi sebenar,” katanya.
Di Malaysia, terdapat beberapa platform dan acara yang memberi peluang kepada orang kurang upaya (OKU) menonjolkan bakat nyanyian mereka.
Antaranya adalah OKU Fest, Akademi Seni OKU dan Festival Kebudayaan yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan serta potensi golongan itu dalam bidang seni.
Dalam pada itu, program realiti dalam talian seperti Voice Stars turut menampilkan peserta OKU dari Malaysia, Indonesia dan Brunei, sekali gus memberikan platform nyanyian kepada golongan tersebut.
Sharina berkata, dia ingin melihat anaknya itu memasuki pertandingan nyanyian agar hobi berkenaan dapat dikembangkan pada masa akan datang.
“Saya masih lagi cuba menerokai peluang-peluang yang boleh disertai oleh Mohamad Afif dalam bidang nyanyian agar selepas ini dia dapat memasuki bertanding.
“Sebagai ibu kepada anak istimewa ini, saya bersyukur Mohamad Afif menjadikan nyanyian sebagai salah satu perkara yang memotivasikannya pada setiap hari,” katanya.














