fbpx
Gambar hiasan

Haramkan kanak-kanak guna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAHAGIAN besar rakyat Malaysia sudah tentu memiliki akaun media sosial masing-masing. Kanak-kanak bawah umur juga mempunyai akaun media sosial.

Membiarkan mereka me­ngakses Facebook, TikTok dan Instagram tanpa kawalan, amat membahayakan dan mendedahkan golongan itu dengan pengaruh negatif.

Malah, bagi menangani masalah ini, ada negara yang mengambil langkah dengan meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak serta remaja daripada menggunakan media sosial.

Pensyarah Kanan, Program Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh berkata, di era digital yang semakin berkembang, media sosial telah menjadi elemen penting dalam kehidupan seharian.

Bagaimanapun, katanya, akses tanpa kawalan kepada platform itu, terutamanya oleh kanak-kanak bawah umur telah menimbulkan kebimbangan yang serius dalam kalangan ibu bapa, pendidik serta pihak berkuasa.

“Cadangan untuk menghadkan penggunaan media sosial kepada golongan ini telah dibangkitkan dengan tujuan melindungi kesihatan mental, fizikal dan perkembangan sosial mereka.

“Banyak kesan negatif terhadap kanak-kanak dan antaranya ketagihan, buli siber, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dan tekanan sosial akibat perbandingan hidup yang se­ring tidak realistik,” katanya.

Katanya, kajian juga menunjukkan masa yang terlalu lama dihabiskan di media sosial boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak, seperti peningkatan risiko kemurungan, kegelisahan dan rasa rendah diri.

Oleh itu, mengehadkan penggunaan media sosial dapat membantu melindungi kesejahteraan mereka.

“Selain itu, langkah ini juga akan memperkukuhkan hubungan sosial dan akademik kanak-kanak,” katanya

Nor Hazrul berkata, tanpa gangguan media sosial, kanak-kanak akan dapat lebih fokus kepada pembelajaran dan pembangunan kemahiran interpersonal mereka, seperti berkomunikasi secara bersemuka dan membina hubungan bermakna dengan rakan sebaya serta keluarga.

“Untuk memastikan cada­ngan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, beberapa langkah perlu diambil.

“Platform media sosial perlu memainkan peranan dengan menetapkan kawalan umur dan had masa penggunaan,” katanya.

Tambahnya, teknologi se­perti pengecaman wajah atau kod pengesahan umur boleh digunakan untuk memastikan pengguna berumur sesuai.

“Ibu bapa perlu diberi panduan untuk mengawasi penggunaan media sosial anak-anak mereka.

“Pendidikan kepada ibu bapa mengenai risiko media sosial serta kaedah memantau penggunaan peranti oleh anak-anak boleh membantu membentuk tabiat digital yang sihat,” kata­nya.

Nor Hazrul berkata, kerajaan pula boleh menggubal undang-undang khas untuk melindungi kanak-kanak dalam talian.

“Sebagai contoh, undang-undang boleh menetapkan had masa penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah umur dan mengenakan hukuman kepada platform yang gagal mematuhi peraturan ini.

“Mengehadkan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak bawah umur adalah langkah penting dalam melindungi kesejahteraan mereka di dunia digital yang semakin kompleks,” jelasnya.

Walaupun terdapat cabaran dalam pelaksanaannya, manfaat kepada kesihatan mental, ke­selamatan dalam talian dan pembangunan sosial kanak-kanak adalah sangat besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN