SAYA dibesarkan di sebuah kampung di Kedah. Penduduknya ada Melayu dan Cina, namun majoritinya adalah Melayu.
Bagi penduduk berbangsa Cina, mereka mencari rezeki dengan berniaga. Ada sebuah kedai runcit diusahakan seorang apek bernama Koleng sebelum perniagaan itu diwarisi pula anaknya.
Sebuah lagi keluarga bernama Kim Bock. Beliau mengusahakan sawah, manakala isterinya pula tukang jahit. Sejak kecil, setiap kali raya pakaian raya sehingga uniform sekolah semuanya dijahit oleh isteri Kim Bock.
Semasa kecil, saya takut pergi ke rumah lelaki berusia separuh abad itu kerana dia memelihara anjing. Walaupun comel dan jinak, tapi perasaan takut digigit tetap ada.
Tidak jauh dari rumah keluarga saya terdapat deretan kedai juga milik orang Cina. Lebih kurang tujuh buah premis. Ada yang menjual ubat herba Cina, barangan perkakasan rumah, racun untuk tanaman padi dan kedai kopi. Berlainan agama tapi satu kampung hidup harmoni.
Biarpun rumah mereka terletak berdekatan masjid yang azannya berkumandang lima kali sehari, namun itu tidak menjadi isu. Sepanjang membesar, keluarga saya sering menjadikan orang Cina sebagai ‘role model’.
Saya tidak pasti keluarga lain, tetapi keluarga saya mengagumi semangat orang Cina. Mungkin juga kerana datuk berniaga dan dikelilingi kawan-kawan berbangsa Cina.
Orang Cina rajin, bekerja keras dan mempunyai disiplin yang tinggi. Mereka bangun awal pagi untuk mencari rezeki. Selain berniaga, ruang ‘sekangkang kera’ di sekeliling rumah digunakan untuk bercucuk tanam dan menternak itik atau ayam.
Selepas pulang dari sekolah, anak-anak akan membantu ibu bapa di kedai untuk mengasah bakat berniaga. Di sekolah menengah, separuh kelas saya merupakan pelajar Cina. Jadi saya ambil peluang itu untuk belajar subjek Matematik Tambahan dengan mereka.
Sehingga sekarang kawan baik saya berbangsa Cina dan India, malah ada Kadazan-Dusun. Setiap tahun kami akan berjumpa sekurang-kurangnya sekali. Bila sesekali berjumpa gelak tawa akan memecah suasana kafe.
Kami tidak pernah menyentuh perihal agama atau topik yang sensitif. Sebab itu saya berasa sedih apabila timbul isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) termasuk yang terbaharu isu ‘ham’.
Perkara tersebut tidak sepatutnya berbangkit sekiranya setiap daripada kita faham dan tahu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang tinggal dalam sebuah negara berbilang bangsa.
Ada segelintir pihak yang menggunakan alasan ‘hak bersuara’ untuk memainkan sentimen dan bercakap perkara yang menyakitkan hati bangsa dan agama orang lain.
Kemudahan media sosial yang ada hari ini sepatutnya digunakan ke arah kebaikan, bukannya menulis mengikut perasaan sehingga memakan diri malah jauh lebih teruk dikhuatiri boleh memecahbelahkan negara.
Kepada pembaca Kosmo! yang juga masyarakat Tionghua masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina. Gong Xi Fa Cai. -KOSMO! ONLINE














