SIAPA sangka, rasa bosan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 memberikan hikmah kepada seorang remaja lelaki apabila mindanya aktif memuntahkan pelbagai idea.
Bermula dengan minat membaca dan menelaah pelbagai jenis komik dan novel, remaja bernama Iqmal Izzat Muhammad Taufiq Janse mula menulis plot-plot cerita hasil pemikirannya di atas kertas.
Setelah dia diberikan sebuah telefon bimbit, anak sulung daripada dua beradik tersebut melanjutkan lagi usahanya menjadi penulis dengan berkongsi idea di laman blog dan di laman wattpad.
Biarpun sambutan di kedua-dua platform tersebut kurang memberangsangkan, Iqmal yang pada ketika itu berusia lingkungan 14 tahun tidak mahu berputus asa dalam merealisasikan cita-cita untuk menjadi penulis buku.
Hasil kegigihannya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu menemui sebuah platform perkongsian penulisan tempatan yang dikenali sebagai Dunia Merah.
Bermula dari situ, keyakinannya untuk menerbitkan novel secara fizikal semakin bertambah apabila penulisannya sebagai penulis muda mendapat respons positif daripada komuniti dalam platform tersebut.
Imbas Iqmal yang kini berusia 18 tahun, cabaran terbesarnya bukanlah pada pembahagian masa sebagai pelajar sekolah ketika itu, namun lebih kepada kesukaran mencari bimbingan dan rujukan agar dia mampu menghasilkan penulisan berkualiti.
“Saya tidak mengalami masalah untuk membahagikan masa kerana ketika itu kami bersekolah secara online disebabkan musim PKP. Oleh itu, saya ada banyak masa untuk menghasilkan idea-idea baharu.
“Pada saya, cabaran yang lebih besar adalah mencari bahan bacaan yang boleh dijadikan rujukan kerana saya tidak pasti bahan mana yang memiliki maklumat tepat dan berkualiti,” katanya kepada K-Remaja.
Bagaimanapun, cabaran itu diatasi bekas naib setiausaha pengawas pusat sumber sekolah itu dengan menyertai Program Perkampungan Penulis Muda (PPM) 2021 yang diadakan secara dalam talian.

Setelah yakin dengan hasil penulisannya, dia yang kemudian menginjak usia 15 tahun pada tahun 2022 perlu menghadapi cabaran besar seterusnya iaitu menerbitkan karyanya.
Memegang kuat pada pepatah Melayu, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya’, Iqmal mencuba pelbagai cara untuk memastikan impiannya itu tercapai.
Hasil kesungguhannya dia berjaya menulis dan menerbitkan sebanyak empat novel semasa di tingkatan tiga diikuti satu naskhah autobiografi di tingkatan lima.
Kini, anak muda itu yang sudah bekerja sebagai pereka grafik sambilan masih terus mengusahakan penulisan novel.
Imbau Iqmal, buku pertamanya bertajuk Instafamous Masuk Kampung merupakan hasil terbitan kendiri bersama platform swaterbit, Menara Seni dan mendapat sambutan menggalakkan.
Karya yang bersifat realism berkenaan diulang cetak sebanyak tiga kali dan pernah menerima Dana Penulis Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Lumrah buku terbitan sendiri, Iqmal berkata, kesemua proses pemasaran dan penjualan dilakukan sendiri anak muda tersebut dengan hasil bantuan keluarga, rakan-rakan dan guru-guru sekolah.
“Untuk buku pertama, saya banyak terokai sendiri sambil dibimbing Menara Seni termasuklah dalam proses pemasaran dan penjualan buku-buku tersebut.
“Bagi cetakan pertama, sebanyak 100 naskhah habis dijual dalam masa satu tahun sahaja menerusi platform online dan menerusi mulut ke mulut kenalan terdekat saya,” ujarnya yang meminati novel nukilan Ramlee Awang Murshid.
Namun, nasib tidak menyebelahinya saat dia menggunakan khidmat penerbit yang enggan didedah namanya untuk dua karya seterusnya iaitu Pahlawan Seri Sakti dan Seindah Pelangi Selepas Hujan Panas.
Novel keduanya hanya terjual sebanyak 20 naskhah iaitu 10 naskhah ketika pratempahan di laman web penerbit, manakala 10 naskhah lagi menerusi jualan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Sementara itu, novel ketiganya merupakan hasil kolaborasi bersama ibunya yang menggunakan nama pena, She Ma turut mengalami masalah lebih kurang sama apabila berdepan rintangan dalam pengedaran.
Alasan pihak terbabit adalah kerana pengedar enggan mengedarkan buku penulis baharu sepertinya disebabkan khuatir jualan buku-buku tersebut tidak memberangsangkan.
Takdir sama menyusuri Iqmal pada buku terbitan keempatnya yang bertajuk Hasrat apabila hanya terjual tiga naskah setelah penerbit dari Sarawak yang bertanggungjawab menerbitkan bukunya ‘menghilangkan diri’.
Kongsinya lagi, semua liku-liku perjalanan yang ditempuhinya sebagai penulis ketika berstatus pelajar sejak tingkatan tiga hingga sebelum menghadapi SPM pada awal tahun 2024 diluahkan dalam autobiografinya bertajuk Aku Novelis Remaja yang diterbitkan oleh Firdaus Press Publication pada Mei tahun lalu.
“Mungkin ramai menyangka mudah bagi saya menerbitkan empat buah novel pada tahun 2022, tetapi sebenarnya proses penulisan telah bermula lebih awal sejak 2020 lagi.
“Perjalanan penerbitan juga tidak mudah dan banyak pengalaman yang saya belajar apabila berhadapan pelbagai isu. Justeru, idea untuk menerbitkan autobiografi tercetus agar dapat menjadi panduan penulis-penulis baharu,” katanya.
Pelancaran buku kelimanya itu dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5 Wangsa Maju dengan sokongan daripada pengetua, barisan pentadbir dan para guru.
Meskipun kini keempat-empat novelnya tidak lagi diterbitkan, pemuda yang pernah menerima sijil pengiktirafan lima bintang Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) pada 2023 itu mahu terus memperbaiki penulisannya.
Pada penerbitan semula buku-buku berkenaan pada masa hadapan, Iqmal berhasrat untuk memperbaiki plot dan penulisannya setelah dia menimba ilmu tentang penulisan bersama ahli-ahli dalam industri penerbitan.
Benar kata-kata hikmah, usaha tidak akan mengkhianati hasil, Iqmal bertemu dengan orang-orang hebat setelah bekerja sebagai pereka grafik sambilan untuk pelbagai penerbit dan penulis swaterbit sebelum menemui Firdaus Press Publications pada Oktober 2023.
Walaupun kini bekerja dengan penerbit berkenaan, Iqmal masih aktif menerima kerja daripada penerbit lain. Antara klien tetapnya adalah Dr. Hajah Sa’adiah Shuib Resources dan Tinta Menari Solutions.
Ujar Iqmal, kariernya sebagai pelukis grafik bermula apabila penerbit tersebut tertarik dengan hasil muka depan yang dihasilkannya untuk penulis lain.
“Pada mulanya, saya belajar reka bentuk sekadar suka-suka, namun saya langsung tidak menyangka bahawa itu akan menjadi kerjaya saya sekarang.
“Saya memang suka melukis grafik dan mula menawarkan diri untuk mereka muka depan penulis-penulis lain yang saya temui ketika berada dalam komuniti penulis.
“Dari situ, penerbit mengenali saya seterus menawarkan saya pekerjaan sebagai pelukis grafik serta mahu menerbitkan karya autobiografi atau buku kelima iaitu Aku Novelis Remaja yang saya hasilkan semasa tingkatan lima dahulu.
“Sepanjang bersama Firdaus Press Publication, saya menemui pelbagai orang dalam bidang penerbitan, penulisan dan penuntut doktor falsafah yang turut aktif menerbitkan buku,” jelasnya.
Mengulas perancangan masa depan, pemuda itu menyimpan impian untuk bergelar pengarah penerbitan buku dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.
Penulis muda yang sering mendapat ilham secara rawak tersebut mahu menyampaikan ilmu penulisan dan penerbitan yang dikumpulnya kepada umum pada satu hari nanti.
Iqmal juga dalam fasa menjadi pembantu jurulatih silat seni gayong untuk kelab Sri Bintang Pelangi Chula Sakti (SBPCS) bagi gelanggang SK Wangsa Jaya dan SK Taman Melawati, Kuala Lumpur.















